HSBC didenda RM344 juta atas dakwaan 'kegagalan serius' dalam melindungi pendeposit | DagangNews Skip to main content

HSBC didenda RM344 juta atas dakwaan 'kegagalan serius' dalam melindungi pendeposit

Bangunan HSBC di Paddington, London, UK. - Gambar IKECHUKWU JULIUS UGWU

LONDON 30 Jan - HSBC,didenda £57.4 juta (RM344.02 juta) kerana "kegagalan serius" dalam melindungi beberapa pendeposit selama beberapa tahun, dalam penalti pertama seumpamanya di bawah peraturan British yang digubal bagi melindungi pelanggan jika bank gagal.

 

Prudential Regulation Authority (PRA) Bank of England berkata HSBC gagal mengenal pasti dengan tepat deposit yang layak untuk Skim Pampasan Perkhidmatan Kewangan Britain (FSCS) - yang melindungi tunai pelanggan sehingga £85,000.

 

Ini adalah denda kedua terbesar yang pernah dikenakan oleh PRA, rendah sedikit berbanding denda £87 juta ke atas Credit Suisse pada Julai 2023.

 

"Kegagalan serius dalam kes ini menjadi intipati objektif keselamatan dan kemantapan PRA," kata Sam Woods, timbalan gabenor Bank of England dan Ketua Pegawai Eksekutif PRA.

 

"Adalah penting untuk semua bank mematuhi sepenuhnya keperluan kami mengenai kesediaan untuk penyelesaian," kata beliau, menurut laporan REUTERS hari ini.


 

hsbc

 


Bank-bank penting global -- seperti HSBC dan UBS -- dikehendaki merancang untuk penyelesaian, yang sepatutnya membenarkan pengawal selia melepaskannya tanpa mencetuskan akibat sistemik yang lebih luas.

 

Peraturan perlindungan deposit Britain memerlukan pemberi pinjaman untuk memastikan maklumat penting disimpan agar FSCS memberi pampasan kepada pelanggan jika firma gagal.

 

Kegagalan pada satu unit HSBC - yang didapati salah menandakan 99% daripada deposit benefisiari yang layak sebagai tidak layak - adalah sedemikian rupa sehingga BoE menilai ia akan "melemahkan secara material" sebarang usaha oleh pengawal selia untuk menggulungnya.

 

Sementara itu, HSBC berkata pihaknya gembira dapat menyelesaikan perkara itu.

 

"Notis akhir PRA mengiktiraf kerjasama bank dengan penyiasatan itu, serta usaha kami untuk menyelesaikan sepenuhnya isu ini. Kami terus kekal fokus untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami," kata jurucakap HSBC.

 

Kegagalan itu berlaku di HSBC Bank plc antara 2015 dan 2022, dan di HSBC UK Bank plc antara 2018 dan 2021, kata PRA.

 

PRA mengurangkan denda HSBC kepada £57 juta pound daripada £96.5 juta pound sebagai balasan kepada kerjasama bank itu dengan siasatan, tambah pengawal selia. - DagangNews.com