HSS Engineers, EDCOP jalin usaha sama kembangkan perkhidmatan BIM di Filipina | DagangNews Skip to main content

HSS Engineers, EDCOP jalin usaha sama kembangkan perkhidmatan BIM di Filipina

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - HSS Engineers Bhd, melalui anak syarikat HSS International Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian utama terikat dengan Engineering and Development Corporation (EDCOP) di Filipina untuk menubuhkan syarikat usaha sama di negara berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata syarikat usaha sama itu akan diperbadankan dan didaftarkan sebagai EDCOP-HSS, yang akan menyediakan perkhidmatan dan rumusan pemodelan maklumat bangunan (BIM) termaju.

 

Di bawah usaha sama tersebut, HSS International akan memiliki 40% kepentingan dan baki 60% dipegang oleh EDCOP.

 

HSS Engineers berkata usaha sama itu akan memberi tumpuan kepada pemodelan 3D, pengesanan pertembungan dan pengurusan projek menyeluruh untuk sektor infrastruktur, di samping terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan inovatif teknologi BIM.

 

Syarikat kejuruteraan industri terbabit berkata kerjasama itu akan mempelbagaikan pangkalan pelanggan dan meningkatkan reputasinya dalam sektor BIM di pasaran Filipina, yang mempunyai potensi pertumbuhan luar biasa dalam bidang pembinaan dan pembangunan infrastruktur.

 

"Kerjasama itu akan memperkasakan kumpulan untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dan perkhidmatan BIM peneraju industri di Filipina dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan EDCOP, pengaruh industri dan cerapan pasaran tempatan.

 

"Tambahan pula, HSS Engineers berhasrat untuk memanfaatkan kecekapan terasnya dan kemahiran tiada tandingannya dalam reka bentuk kejuruteraan dan pengurusan projek untuk berkembang maju dalam pasaran dinamik ini," katanya. 

 

Setakat pukul 2:51 petang ini, saham HSS Engineers telah menokok 4 sen atau 4% kepada RM1.05 dengan permodalan pasaran berjumlah RM520.8 juta. - DagangNews.com