UOB lancar kelas bantu perniagaan bersedia hadapi polisi dasar sempadan karbon EU | DagangNews Skip to main content

UOB lancar kelas bantu perniagaan bersedia hadapi polisi dasar sempadan karbon EU

Gambar hiasan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM). - Gambar/manganese.org
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Malaysia) melancarkan kelas Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) bagi membantu perniagaan bersiap sedia menghadapi pelaksanaan keperluan CBAM Kesatuan Eropah (EU) pada 2026.

 

CBAM merupakan cukai sempadan karbon yang meletakkan harga ke atas karbon yang dihasilkan semasa pengeluaran barangan intensif karbon yang memasuki EU, selain menggalakkan pengeluaran perindustrian yang lebih bersih di negara bukan EU. 

 

Pada masa ini, CBAM EU berada dalam fasa peralihan dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 2026. 

 

Perubahan dalam kawal selia ini akan memberi kesan kepada perniagaan Malaysia yang mengeksport ke EU kerana ia memerlukan mereka menggunakan metodologi CBAM untuk mengukur dan melaporkan jumlah pelepasan karbon yang terkandung dalam pengeluaran barangan tertentu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Ng Wei Wei berkata, pelaksanaan CBAM itu dijangka memberi kesan kepada 75% eksport Malaysia ke EU, pasaran eksport keempat terbesar Malaysia. 

 

Beliau berkata, keperluan kawal selia baharu ini pasti akan memberi penekanan terhadap kepentingan kemampanan dalam rantaian bekalan global. 

 

"Tumpuan kami kekal terhadap usaha mempermudah perdagangan global, dan kelas CBAM hanyalah antara cara kami membantu perniagaan tempatan meningkatkan daya saing mereka. 

 

"Ini dilakukan dengan membekalkan pengetahuan yang membolehkan mereka sedia menghadapi pelaksanaan peraturan baharu EU," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kelas CBAM ini adalah merupakan anjuran UOB Malaysia dan PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC), menawarkan kepada perniagaan pemahaman menyeluruh tentang CBAM.

 

Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UOB membantu perniagaan beralih kepada ekonomi rendah karbon.  - DagangNews.com