Pekat dalam rundingan ambil alih pegangan ekuiti dalam EPE Switchgear | DagangNews Skip to main content

Pekat dalam rundingan ambil alih pegangan ekuiti dalam EPE Switchgear

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pekat Group Bhd menerusi  Pekat Teknologi Sdn Bhd sedang menjalan rundingan bersama Apex Power Industry Sdn Bhd bagi mengambil alih ekuiti dalam EPE Switchgear Sdn Bhd.

 

Pekat dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kedua-dua pihak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk berurusan ecara eksklusif sehingga 30 Jun 2024 bagi pembelian ekuiti dalam EPE dan pertimbangan pembelian tertakluk kepada semakan usaha wajar yang akan dilakukan Pekat Teknologi ke atas syarikat sasaran.  

 

EPE terlibat dalam aktiviti pembuatan, kejuruteraan dan projek, menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas kepada sektor penjanaan, penghantaran dan pengedaran industri kuasa elektrik.

 

"MoU itu membolehkan pihak berkaitan untuk menetapkan terma-terma utama yang dipersetujui dan membentuk asas konsensus bagi meneruskan cadangan pengambilalihan.

 

"Cadangan pengambilalihan adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat untuk mengembangkan aktiviti perniagaan," katanya.

 

MoU itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar, serta sebarang kesan material serta-merta ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Pelaksanaan MoU itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan. - DagangNews.com