KUALA LUMPUR 14 Feb - HSS Engineers Berhad (HEB) menerusi syarikat bersekutunya, SMHB Sdn. Bhd. (SMHB) menerima surat anugerah (LoA) daripada Pengurusan Aset Air Berhad bagi menyediakan perkhidmatan perundingan kejuruteraan projek bernilai RM9.51 juta.
Ia melibatkan projek cadangan menaik taraf sistem bekalan air di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang Op4-22 – Fasa 1
"Perkhidmatan perundingan itu bermula 19 Februari 2024 dan dijangka siap pada Julai 2027," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Katanya, kerja-kerja perkhidmatan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan HEB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2027.
ARTIKEL BERKAITAN: HSS Engineers terima kontrak khidmat rundingan bernilai RM4.9 juta daripada Port Klang Cruise Terminal
"Pembangunan itu juga dijangka tidak memberi kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama dalam Kumpulan HEB," jelasnya.
Menurut HEB, perkhidmatan ini dijangka dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.
Kumpulan HEB juga memaklumkan mereka mempunyai rekod prestasi dan kepakaran dalam melaksanakan projek tersebut.
"Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya bahawa Kumpulan HEB mampu mengurangkan faktor risiko," kata makluman itu.- DagangNews.com