HSS Engineers terima kontrak perkhidmatan perundingan bersama Oriental Consultants bernilai RM2.4 juta bagi projek LRT Jakarta Fasa 1B | DagangNews Skip to main content

HSS Engineers terima kontrak perkhidmatan perundingan bersama Oriental Consultants bernilai RM2.4 juta bagi projek LRT Jakarta Fasa 1B

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - HSS Engineers Berhad (HEB) menerusi anak syarikatnya, HSS Engineering Sdn. Bhd. menerima perjanjian sub-perunding bersama Oriental Consultants Global Co. Ltd bagi menyediakan perkhidmatan perundingan pengurusan projek bernilai RM2.4 juta.

 

Ia melibatkan projek LRT Jakarta Fasa 1B: Velodrom – Projek Manggarai di Indonesia.

 

Perunding telah dilantik oleh PT Jakarta Propertindo (Perseroda) sebagai Perunding Pengurusan Projek berkenaan.

 

"Menurut pengaturan gabungan eksklusif antara HSSE dan HSS Integrated Sdn Bhd sebuah syarikat bersekutu HEB, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan melengkapkan perkhidmatan itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, perkhidmatan itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan HEB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2025.

 

Katanya, faktor risiko yang mempengaruhi perkhidmatan termasuk, tetapi tidak terhad kepada risiko pelaksanaan, seperti pergantungan pada jadual pelaksanaan dan kemajuan projek.

 

"Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya bahawa kumpulan itu mampu mengurangkan faktor risiko yang disebutkan," katanya. - DagangNews.com