Hubungi bank segera untuk bantuan berhubung moratorium, gesa CIMB | DagangNews Skip to main content

Hubungi bank segera untuk bantuan berhubung moratorium, gesa CIMB

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - CIMB Bank menggesa individu yang masih memerlukan bantuan kewangan  moratorium pinjaman untuk segera menghubungi pihak bank memandangkan tempoh itu bakal berakhir 30 September ini. 

CIMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menghantar surat dan e-mel kepada peminjam yang belum menghubungi pihak bank untuk memberi peringatan mengenai permulaan bayaran ansuran pinjaman pada Oktober 2020. 

“Memandangkan moratorium hampir berakhir, CIMB menggesa semua pelanggan yang masih memerlukan bantuan untuk menghubungi pihak bank sekiranya perlu. 

“CIMB juga telah memaklumkan peminjam menerusi SMS berhubung jumlah ansuran mereka setelah melanjutkan pembayaran pada bulan Oktober,” kata CIMB.

CIMB menawarkan pilihan bantuan kewangan termasuk pengstrukturan dan penjadualan semula (R&R) sementara pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh layari https://www.cimb.com.my/frap untuk langkah bantuan tersedia. 

Tambah CIMB, pelanggan yang memohon pelepasan kewangan atau menerima tawaran R&R tidak akan menjejaskan status rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka.

“CIMB ingin meyakinkan pelanggan bahawa semua proses permohonan dan kelulusan dilaksanakan dengan ringkas dan tidak rumit. Sejak awal Ogos, CIMB secara proaktif menghubungi 380,000 individu dan 10,000 PKS yang berpotensi terjejas akibat COVID-19.

“CIMB menghubungi pelanggan-pelanggan ini secara langsung dan menyediakan mereka dengan arahan mudah untuk menghantar permohonan mereka. Sejak itu, CIMB telah meluluskan hampir RM7 bilion dalam Program Bantuan Bersasar (TAP) dan bantuan pembayaran lain untuk lebih 40,000 pelanggan dengan kadar kelulusan menghampiri 100%,” jelas CIMB. 

Dalam pada itu, CIMB telah meluluskan RM2.5 bilion bagi TAP untuk PKS, menghampiri RM700 juta Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagi pertanyaan bantuan kewangan, para pelanggan boleh menghubungi Talian Pusat CIMB di talian +603-6204 7788 atau e-mel covidcare@cimb.com. - DagangNews.com