KUALA LUMPUR 8 Mac - Hujan lebat luar biasa dalam tempoh 2 jam, menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang sangat tinggi, yang biasanya adalah jumlah untuk tempoh kira-kira 2 minggu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, purata hujan bagi tempoh sebulan adalah 200 milimeter, namun dalam masa 2 jam hujan lebat petang semalam, jumlah itu hujan melebihi 100 milimeter (mm).
"Bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa SMART, Kuala Lumpur dengan bacaan 106.5 mm dan Stesen Air Panas Kuala Lumpur dengan bacaan 155 mm dalam hanya masa 2 jam.
"Ini mengakibatkan banjir kilat dan air bertakung di jalan-jalan utama Bandaraya Kuala Lumpur terutama di Jalan Batu Bata, Jalan periuk Kampung Pasir Baru dan Kolej Telekom," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan SMART, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Tuan Ibrahim berkata, secara umumnya, jumlah hujan untuk setahun adalah 2,500mm dengan purata bulanan pula sekitar 200 mm.
"Kejadian hujan lebat berterusan ini dan hujan tidak menentu ini adalah kesan secara langsung perubahan iklim yang mana kebiasaan Mac adalah musim kemarau, namun ketika ini berlaku hujan.
"Dalam pada itu, aras Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak mencapai paras bahaya dengan bacaan 31.99 meter (m), manakala aras sungai sama di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing 30.38m dan 30.12m," katanya.
Katanya, banjir kilat itu menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Lebuhraya Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6m, menurut Berita Harian.
"Dianggarkan 103 rumah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, di sini, akibat banjir kilat," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah supaya berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.
"Orang ramai juga diminta untuk sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.
"Sekiranya hujan lebat serta air pasang laut berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," katanya. - DagangNews.com