Hukuman ke atas Najib Tun Razak dikurangkan kepada penjara 6 tahun, denda RM50 juta | DagangNews Skip to main content

Hukuman ke atas Najib Tun Razak dikurangkan kepada penjara 6 tahun, denda RM50 juta

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengurangan hukuman penjara dan denda seperti diputuskan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan./Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 2 Feb - Hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikurangkan.

 

Najib mendapat pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya manakala denda pula dikurangkan kepada RM50 juta.

 

Hukuman asal yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini ialah RM210 juta.

 

Pengurangan itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Dengan pengurangan sebanyak enam tahun penjara itu, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, kata kenyataan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebentar tadi.

 

"Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," kata kenyataan itu.

 

Najib, 70, yang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Sept 2022.

 

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12  tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas masingmasing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.  - DagangNews.com