Hup Seng terus berdepan cabaran bagi tahun 2022 akibat kekurangan komoditi, gangguan rantaian bekalan | DagangNews Skip to main content

Hup Seng terus berdepan cabaran bagi tahun 2022 akibat kekurangan komoditi, gangguan rantaian bekalan

KUALA LUMPUR 20 April - Hup Seng Industries Berhad percaya mereka akan terus berhadapan cabaran dan ketidaktentuan pasaran untuk tahun 2022 akibat kekurangan komoditi di pasaran global, penyebaran COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan.

 

Katanya, selain gangguan itu, mereka juga berdepan kenaikan harga tenaga, kekurangan tenaga pekerja dan perubahan iklim.

 

"Cabaran besar yang akan dihadapi oleh kumpulan adalah kenaikan kos bahan mentah dan cara untuk menguruskan kenaikan itu akan menjadi keutamaan kumpulan untuk jangka masa panjang," katanya dalam laporan tahunan terbaharunya di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Hup Seng yang terkenal dengan biskut jenama 'Cap Ping Pong' dan 'Hup Seng Cream Cracker' berkata, tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2022 dijangka penuh cabaran untuk kumpulan itu  kerana operasi mereka terjejas akibat faktor yang tidak dapat dikawal yang menjejaskan perkembangan mereka.

 

Kumpulan itu juga terlibat dengan produk kopi pracampuran '3 in 1 Instant Coffeemix' mengambil berat terhadap perniagaan eksport mereka.

 

"Antara dilema yang dihadapi adalah kekurangan kontena global, kesesakan di pelabuhan dan kos perkapalam yang melambung tinggi yang dijangka berterusan sehingga penghujung 2022.

 

"Dalam usaha memenuhi tempahan eksport, kumpulan ini akan lebih berhati-hati disebabkan oleh had tarikh luput produk, yang secara langsung menjejaskan perniagaan eksport," katanya.

 

Hup Seng bagaimanapun kekal optimis terhadap prospek industri bikus Malaysia terutama dengan pemulihan ekonomi yang didorong oleh pemberian vaksin Covid-19.

 

"Kumpulan akan terus mencari pasaran baharu untuk mengembangkan pendapatan mereka dan meningkatkan daya saing produk," katanya. - DagangNews.com