Hutang kerajaan berjumlah RM1.045 trilion sehingga Jun 2022 - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Hutang kerajaan berjumlah RM1.045 trilion sehingga Jun 2022 - Tengku Zafrul

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Hutang kerajaan kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat Jun 2022.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada M. Karupaiya (PH-Padang Serai) berkata, sejumlah RM43.1 bilion atau 18.4% daripada anggaran jumlah hasil diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang Kerajaan Persekutuan bagi 2022.

 

“Sehingga akhir Jun 2022, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan pembayaran faedah ke atas hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan.

 

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran faedah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

“Bayaran khidmat hutang ini diperuntuk sebagai item tanggungan T13 iaitu salah satu perbelanjaan tanggungan yang diberi keutamaan terlebih dahulu daripada item perbelanjaan yang lain, seperti yang termaktub di bawah Perkara 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu segala caj hutang adalah di bawah tanggungan kerajaan Persekutuan,” katanya.

 

Terdahulu, Zafrul memberi jaminan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan masih terkawal.

 

Katanya, kerajaan kekal berdisiplin tinggi dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang walaupun telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan.

 

Dilaporkan bahawa pada akhir Jun 2022, pinjaman luar pesisir berjumlah RM29.4 bilion, manakala hutang berkanun menyumbang 60.4% daripada KDNK.

 

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak melebihi RM35 bilion dan Akta Interim bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan had berkanun hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). - DagangNews.com