Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Jumlah hutang negara yang dicatatkan hingga Jun 2020 mengikut pengiraan had statutori adalah 53.6%.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, jumlah tersebut masih berada di bawah had statutori yang ditetapkan di negara ini.
"Hingga Jun 2020, hutang kerajaan persekutuan meningkat kepada RM854 bilion atau 57.7% daripada KDNK (kadar keluaran dalam negara kasar)
"Namun, berdasarkan pengiraan had statutori, ia mencatatkan peratusan sebanyak 53.6% iaitu masih berada di bawah had statutori 55% yang telah ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Husain Awang (PAS) di Dewan Negara hari ini.
Husain Awang dalam soalan tambahannya meminta Shahar untuk menyatakan rancangan kerajaan di masa akan datang dalam menurunkan kadar hutang negara.
Soalan tersebut diajukan berdasarkan kepada satu laporan berita tempatan bertarikh 12 Ogos lalu yang menyatakan tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55% pada akhir tahun ini.
Menurut laporan berita itu lagi, kemungkinan tersebut berikutan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Dalam jawapan yang sama, Shahar menambah, Rang Undang-Undang berkaitan COVID-19 yang telah dikemukakan bagi meningkatkan had 55% kepada 60% akan turut dibentangkan di Dewan Negara.
"Disebabkan oleh pelaksanaan pakej PRIHATIN dan PENJANA yang telah kita kemukakan Rang Undang-Undang berkaitan COVID-19 di Dewan Rakyat untuk membantu kita supaya kita meningkatkan had 55% kepada 60%.
"Di Dewan Negara kita akan lakukan pembentangan yang sama. Saya harapkan ahli dewan negara dapat membantu untuk kita dapat menguruskan kewangan negara seterusnya rakyat dapat kesan daripada pelaksanaan pakej rangsangan," jelasnya lagi. - DagangNews.com