I-Berhad catat peningkatan untung bersih kepada RM4.1 juta pada 1QFY24 dipacu perkembangan segmen riadah, hospitaliti | DagangNews Skip to main content

I-Berhad catat peningkatan untung bersih kepada RM4.1 juta pada 1QFY24 dipacu perkembangan segmen riadah, hospitaliti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kumpulan hartanah, I-Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM4.1 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding RM675,000 bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu perkembangan segmen riadah dan hospitaliti.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan sedikit penyusutan kepada RM40.6 juta berbanding RM44.5 juta pada 1QFY23.

 

Kumpulan itu berkata, penurunan pendapatan pada 1QFY24 adalah disebabkan oleh pemindahan inventori sedia ada dalam segmen pembangunan hartanah. 

 

Katanya, prestasi pusat beli-belah Central i-City meningkat secara ketara, mencatatkan keuntungan RM1.43 juta, menunjukkan kejayaan pelaburan strategik syarikat.

 

"Segmen hiburan dan hospitaliti menyaksikan pertumbuhan pendapatan sebanyak 26%, meningkat daripada RM20.6 juta kepada RM25.9 juta, didorong oleh acara korporat di DoubleTree by Hilton i-City dan Best Western i-City serta tarikan baru seperti Digital Sports Arena dan Immersive Winterland, diperkuat oleh peningkatan bilangan pelawat semasa cuti sekolah dan musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, portofolio pelaburan hartanah kumpulan juga cemerlang dengan mencatatkan peningkatan pendapatan kepada RM5.93 juta berbanding RM5.73 juta, pendapatan tetap itu menunjukkan nilai strategik dan kestabilan kewangan alam segmen itu.

 

Selain itu, jualan yang belum dibilkan kumpulan berjumlah RM97.2 juta pada 31 Mac 2024, berbanding RM94.5 juta pada tahun 2023, mencerminkan permintaan yang mampan untuk i-City.

 

Mengulas mengenai prospek, I-Berhad merancang untuk mengumpul RM100 juta menerusi penerbitan saham keutamaan (RPS) dengan kadar dividen sebanyak 3%.

 

"Kadar dividen tidak kumulatif 3% pada RPS, menjadikan ini sebagai pilihan yang sangat menarik untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang berbanding kos pinjaman sedia ada yang berkisar antara 4.21% dan 5%," katanya

 

Ini juga akan menurunkan kos kewangan secara ketara dan meningkatkan pengurusan aliran tunai. 

 

Pendanaan yang dicadangkan itu adalah antara sokongan kukuh daripada pengasas dan pemegang saham terbesar, Tan Sri Lim Kim Hong dan akan menjadi kunci dalam meningkatkan kekuatan kewangan dan daya tahan kumpulan.- DagangNews.com