I-Berhad diunjur terus melabur dalam segmen riadah dan hospitaliti bagi kekalkan momentum pendapatan | DagangNews Skip to main content

I-Berhad diunjur terus melabur dalam segmen riadah dan hospitaliti bagi kekalkan momentum pendapatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - I-Berhad diunjur terus melabur dalam segmen riadah dan hospitaliti bagi mengekalkan momentum pendapatan pada masa akan datang.

 

Public Investment Bank (PublicInvestment) berkata, segmen itu terus menyokong pertumbuhan pendapatan serta keuntungan walaupun pada suku semasa menyaksikan sumbangan yang lebih baik daripada segmen pembangunan hartanah, walaupun masih kekurangan pelancaran baharu.

 

Katanya, pihak pengurusan terus mengukuhkan hasratnya bagi membina dan mengukuhkan portfolio pelaburan hartanah serta segmen riadah dan hospitaliti yang dijangka mempunyai kesan berterusan kepada segmen pembangunan hartanahnya.

 

"Bergantung pada keadaan pasaran, kumpulan itu bersedia untuk melancarkan projek AI Central Park yang terdiri daripada dua menara korporat dan satu menara kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan RM600 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih I-Berhad bagi 1HFY24 meningkat kepada RM9.5 juta dipacu peningkatan segmen riadah dan hospitaliti

 

Terdahulu, hasil bagi 1HFY24 juga meningkat kepada RM96.1 juta berbanding RM86.3 juta pada 1HFY23.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.4 juta berbanding RM1.8 juta pada tahun sebelumnya dengan peningkatan hasil sebanyak RM55.5 juta berbanding RM41.8 juta pada 2QFY23.

 

Untung kasar bagi segmen riadah dan hospitaliti melonjak kepada RM4.2 juta bagi suku berkenaan berbanding RM220,000 pada tahun lalu. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen riadah dan hospitaliti menyumbang hasil sebanyak RM25.6 juta dan keuntungan sebanyak RM4.2 juta disokong sebahagiannya oleh cuti sekolah dan musim perayaan pada suku pelaporan semasa.

 

Katanya, berbanding setahun lalu, prestasi pada suku semasa adalah lebih baik kerana pembukaan pelbagai tarikan baharu.

 

PublicInvestment berkata, hasil pembangunan hartanah meningkat sebanyak RM23.3 juta berbeza dengan RM8 juta suku sebelumnya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 32 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com