Ibadat korban lebih mudah, selamat bersama IKHLAS | DagangNews Skip to main content

Ibadat korban lebih mudah, selamat bersama IKHLAS

Qurban Ikhlas

KUALA LUMPUR 1 Julai – Jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia Berhad, IKHLAS menyediakan perkhidmatan ibadat korban dalam talian yang lebih mudah, selamat selain harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Ketuanya, Ikhlas Kamarudin berkata, IKHLAS ditubuhkan dengan visi untuk membantu umat Islam menjalankan ibadat dengan lebih mudah dan ‘Qurban bersama IKHLAS’ adalah produk terbaharu yang membolehkan mana-mana orang Islam menunaikan tanggungjawab mereka serta menjadikan sambutan Hari Raya Aidiladha sebagai hari pemberian.

“Perayaan Aidiladha ini penuh dengan tradisinya dan kami ingin menyediakan cara yang lebih mudah untuk diakses oleh umat Islam bagi menunaikan ibadat korban mereka.

“Pasukan IKHLAS akan bekerjasama dengan rakan-rakan kami di 35 buah negara luar untuk mengedarkan daging kepada masyarakat yang memerlukan agar mereka boleh merasai suasana Aidiladha yang bermakna,” katanya seperti dipetik AirAsia Newsroom, hari ini.

Perkhidmatan yang dibuka melalui pautan ikhlas.com/qurban itu menawarkan harga RM300 untuk satu bahagian lembu dan RM2,100 bagi seekor lembu dengan jumlah pembahagian sebanyak tujuh bahagian untuk pengedaran luar negara.

Manakala harga bagi seekor kambing pula adalah RM580.

Bagi pengedaran tempatan pula, satu bahagian lembu ditawarkan pada harga RM750 dan seekor lembu pada harga RM5,250.

Tambah Ikhlas lagi, setiap pembelian yang ditempah melalui ikhlas.com/qurban akan memperoleh satu Mata BIG untuk setiap RM1 yang dibelanjakan.

“Setiap pesarta juga akan menerima sijil ibadat korban rasmi yang menyatakan lokasi sebenar pengedaran daging dibuat. Sebahagian daripada hasil pembelian juga akan disalurkan kepada “Give With Ikhlas” untuk membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan segera bermula hari ini hingga 30 Julai 2020 atau berhubung melalui emel sales@ikhlas.com. -  DagangNews.com