Ibrahim Baki tersenarai antara 3 ahli lembaga pengarah baharu Petronas | DagangNews Skip to main content

Ibrahim Baki tersenarai antara 3 ahli lembaga pengarah baharu Petronas

Petronas

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Tokoh korporat, Datuk Ibrahim Baki adalah seorang daripada tiga ahli lembaga pengarah baharu yang dilantik oleh syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Petronas dalam satu kenyataan berkata, dua ahli lembaga baharu lain ialah bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Razali Mohd. Yusof.

"Ibrahim adalah tokoh korporat yang disegani dan profesional dalam perundangan di samping pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Beliau mengambil jurusan perundangan di United Kingdom dan berjaya lulus dengan gelaran LL.B (Hons) selain diterima sebagai Barrister-At-Law dari sebuah persatuan undang-undang terkenal di London, Lincoln's Inn," jelas Petronas.

Pelantikan ketiga-tiga ahli lembaga pengarah baharu itu berkuat kuasa pada 17 Ogos 2020.
 

Ibrahim Baki
Ibrahim Baki 

 

Ibrahim telah memulakan kerjayanya pada tahun 1984 sebagai pegawai perundangan di Petronas Kuala Lumpur sebelum menjadi pengasas di Tetuan Idris Buang, Ibrahim Baki & Co, Advokat & Peguamcara Sarawak pada 1985.

Bermula tahun 1991, Ibrahim turut terlibat dalam beberapa perniagaan berkaitan hartanah, penghantaran, logistik, media dan pengurusan perkhidmatan.

Manakala, Zaharah pula memegang jawatan sebagai Ketua Prasarana Malaysia Berhad hingga Mei 2020.

Zaharah Ibrahim
Zaharah Ibrahim

 

Beliau merupakan graduan dari Universiti Malaysia Kuala Lumpur dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) selain berpengalaman lebih 40 tahun dalam perundangan dan kehakiman.

Sementara itu, Razali pula merupakan seorang ahli perniagaan profesional dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perlombongan, minyak dan gas.

Beliau telah membina pengalaman dalam pelbagai aspek termasuk kejuruteraan sebagai perunding kepada pelbagai organisasi.

Beliau juga merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Perlombongan) dan memiliki MSc dalam Pengurusan Kejuruteraan di University of Missouri.

Jelas Petronas, pihaknya begitu yakin dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki ahli lembaga pengarah baharunya yang pasti memberi nilai tambah berharga untuk syarikat. - DagangNews.com