IPOH 6 Nov - Datuk Mohd. Kazim Elias atau Ustaz Kazim memutuskan menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut demi kepentingan keluarga.
Ia mempunyai kaitan dengan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pada sidang akhbar yang diadakan di Kompleks Darul Barakah, Manjoi pagi tadi, Ustaz Kazim menjelaskan beliau berpegang pada prinsip untuk tidak bertanding dalam politik sekiranya ada persaingan sesama keluarga.
Katanya, ini merupakan prinsip yang beliau pegang selain ia merupakan wasiat Allahyarhamah ibunya yang tidak mahu perkara sedemikian.
"Saya mempunyai satu prinsip saya tak mahu bertanding melibatkan ahli keluarga dalam DUN atau Parlimen. Ini amanat arwah ibu saya yang minta jangan (berlaku).
"Apabila saya berbincang dengan abang saya, mereka tak ikut bertanding dalam parti lain.
"Beberapa rundingan dengan saudara kandung dibuat, lalu saya ambil keputusan untuk tandatangan watikah sebagai wakil BN Parlimen Larut.
"Tapi abang saya pun tandatangan satu lagi watikah parti lain tanpa kami tahu. Jam 8 malam sebelum pengumuman tu saya menghormati dengan abang saya. Saya hormati dia dan saya beri laluan pada dia," jelasnya.
Menurut Ustaz Kazim, sebelum bersetuju menerima tawaran tersebut beliau telah memaklumkan kepada UMNO Perak tidak akan bertanding sesama ahli keluarganya.
Katanya, ini kerana ramai ahli keluarga, kenalan dan anak-anak muridnya merupakan penduduk Larut, Batu Kurau dan kawasan sekitarnya jadi beliau mahu menjaga keharmonian hubungan.
"Cuma surat tarik diri yang saya beri tak sampai pada Presiden BN dan Setiausaha BN.
"Jadi tak timbul isu saya ditolak… tak timbul juga soal bolak-balik. Cuma saya dan abang tak ahu masing-masing dah tandatangan," ujarnya.
Sebelum ini, Ustaz Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU15.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan pada majlis Pengumuman Calon BN di sini pada 2 November lalu.
Ustaz Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud. - DagangNews.com