ICAEW mengiktiraf pelajar cemerlang peperiksaan perakaunan | DagangNews Skip to main content

ICAEW mengiktiraf pelajar cemerlang peperiksaan perakaunan

Pelajar Malaysia yang mencapai markah tertinggi dalam peperiksaan ICAEW diiktiraf di ICAEW Malaysia Celebrating Excellence 2024
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) mengiktirafkan pelajar Malaysia yang cemerlang dalam peperiksaan mereka semasa acara tahunan ICAEW Malaysia Celebrating Excellence bagi menggalakkan mereka berusaha menjadi akauntan bertauliah yang akan menyumbang kepada ekonomi negara. 

 

Acara itu dihadiri oleh 'Authorised Training Providers' (ATE) dan 'Partners-in-Learning' (PiLs) untuk menyaksikan acara penyampaian hadiah itu kepada pelajar Malaysia. 

 

Institut itu berkata, pengiktirafan tersebut mengesahkan komitmen ahli ICAEW Malaysia, termasuk pemimpin perniagaan terkenal dan personaliti berpengaruh dalam memupuk kecemerlangan institut itu.

 

Tahun ini, ICAEW telah menganugerahkan enam hadiah kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan peringkat 'Advanced' yang kini sedang bekerja di PwC, KPMG dan Deloitte.

 

Pelajar tersebut juga diberikan sijil, hadiah dan pingat bersalut emas 24k di bawah naungan Fellow Chartered Accountants terkenal Tan Sri Dato’ Hanafiah Hussain, Datuk Ali Abdul Kadir, dan Allahyarham Tan Sri Azlan Zainol.

 

Selain itu, 26 hadiah peringkat profesional ICAEW dan 24k pingat bersalut emas telah dianugerahkan oleh ahli ICAEW Members' Society Malaysian Chapter.

 

Menurut ICAEW, penyampaian hadiah kepada pelajar adalah penting untuk meraikan kejayaan mereka dan meningkatkan keyakinan mereka.

 

"Dengan menyokong dan memberi inspirasi kepada pelajar, ICAEW memainkan peranan penting dalam mengukuhkan profesion perakaunan di Malaysia dan memupuk pembangunan profesional mahir yang bersedia untuk memacu inovasi dan pertumbuhan industry," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua ICAEW Malaysia, Shenola Gonzales berkata, perkongsian kukuh antara ICAEW dan ATE memastikan pelajar  menerima pendidikan komprehensif dan pengalaman praktikal, menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin dalam profesion. 

 

“Keahlian ICAEW adalah tanda kecemerlangan, mewakili komitmen untuk menegakkan standard etika dan profesional tertinggi," ujar beliau.

 

Sementara itu, ICAEW Malaysia kekal berdedikasi untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan bilangan akauntan profesional di Malaysia kepada 60,000 menjelang 2030.- DagangNews.com