KUALA LUMPUR 2 Sept - Cadangan pelupusan pelantar Perisai Pacific 101 dengan pertimbangan tunai sebanyak AS$85 juta (RM381.7 juta) dijangka memberi keuntungan yang besar kepada Icon Offshore Bhd.
Maybank Investment Bank (IB) berkata, ia akan menyaksikan pemegang saham kemungkinan mendapatkan dividen khas manakala pengurusan pula perlu mencari kesesuaian perniagaan yang lebih baik.
Katanya, Icon Offshore dijangka memperoleh keuntungan bersih sekali sahaja sebanyak RM185.5 juta daripada cadangan pelupusan berkenaan.
"Berdasarkan proforma, kami menganggarkan kumpulan akan berada dalam kedudukan tunai bersih sebanyak RM24.4 juta (berbanding hutang bersih RM343 juta setakat Jun 2022) selepas memuktamadkan urus niaga ini yang dijangka pada suku keempat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Rabu, Icon Offshore menerusi anak syarikat milik penuhnya, Icon Caren (L) Inc, memeterai Perjanjian Jual Beli dengan ADES Arabia Holding bagi cadangan pelupusan pelantar Perisai Pacific 101.
Penyedia kapal sokongan luar pesisir (OSV) terkemuka yang juga kontraktor pelantar penggerudian luar pesisir di Malaysia dan Asia Tenggara itu berkata, cadangan pelupusan adalah bersyarat dengan mendapat kelulusan pemegang saham Icon Offshore pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Icon Offshore melalui unit milik penuhnya Icon Fleet Sdn. Bhd. telah membeli pelantar ini dan aset berkaitan daripada Perisai Petroleum Teknologi Bhd. pada harga AS$42.54 juta (RM177 juta) pada Oktober 2020.
Pengarah Urusan Icon Offshore, Datuk Seri Hadian Hashim berkata, langkah itu memberi peluang kepada syarikat untuk meraih untung pelaburannya dalam pelantar pada keuntungan yang ketara (RM185.5 juta), memberikan kumpulan kekuatan kewangan untuk mempelbagaikan bidang perniagaan lain, seperti menerokai ruang tenaga baharu dan segmen perkhidmatan melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang strategik.
Icon Offshore kini mempunyai 19 kapal aktif yang beroperasi di perairan Malaysia, Brunei dan Thailand.
Maybank IB berkata, pemegang saham berkemungkinan mahukan sebahagian daripada hasil (RM208.6 juta) untuk dividen khas dan pengurusan perlu menghasilkan strategi perniagaan alternatif yang kukuh.
"Dengan mengandaikan hipotesis pembayaran sebanyak RM41.7 juta (20% daripada hasil bersih), ia menyaksikan dividen sebanyak 1.76 sen, yang diterjemahkan kepada hasil dividen yang menarik sebanyak 16%.
"Sementara itu, menurut laporan TheEdge, Icon Offshore difahamkan ingin memperoleh 51% pegangan di Sapura Baker Hughes TPS Sdn. Bhd. (perniagaan penyelenggaraan, baik pulih dan operasi - MRO)," katanya.
Pada Jun lalu, portal berbahasa Inggeris itu yang memetik sumber melaporkan Sapura Energy Bhd. difahamkan sedang berbincang untuk melepaskan 51% pegangannya dalam Sapura Baker Hughes dan antara pihak yang berminat untuk memperoleh pegangan itu ialah Icon Offshore.
Salah satu unit Sapura Energy yang berdaya maju, Sapura Baker Hughes (dahulunya dikenali sebagai Sapura GE Oil & Gas Services Sdn Bhd) ialah usaha sama 51:49 antara Sapura Energy dan Baker Hughes, dan mempunyai kontrak perkhidmatan penyelenggaraan jangka panjang daripada Petronas untuk Floating LNG1 (L) Ltd, kemudahan gas asli cecair terapung.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Icon Offshore dengan harga sasaran tidak berubah pada 16 sen.
Setakat 11.12 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 11 sen dengan 1.19 juta saham diniagakan. - DagangNews.com