Iconic Medicare lulus audit ESG berlandaskan metodologi SMETA | DagangNews Skip to main content

Iconic Medicare lulus audit ESG berlandaskan metodologi SMETA

KUALA LUMPUR 4 April - Iconic Worldwide Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya Iconic Medicare Sdn. Bhd berjaya melepasi audit tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berlandaskan metodologi SMETA, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa pihak ketiga.

 

Audit Perdagangan Etika Ahli Sedex (SMETA) merupakan antara format audit etika yang paling banyak digunakan dan dirangka berlandaskan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

 

Ia terdiri daripada modul seperti piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan, sistem pengurusan, penilaian alam sekitar dan etika perniagaan.

 

Iconic Medicare telah disahkan secara rasmi untuk perniagaan pembuatan sarung tangan selepas melalui skop audit SMETA 4-teras.

 

Proses audit berkenaan diadakan di kilangnya di Batu Kawan, Pualau Pinang melibatkan penilaian perlindungan sosial pekerja dan merentasi sub-bahagian pengeluaran, perkhidmatan sokongan dan pentadbiran selain turut diadakan temu bual secara individu.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Tan Kean Tet berkata, pihaknya secara sukarela menjalankan program audit tersebut kerana ia adalah piawaian yang diiktiraf di seluruh dunia. 

 

iconic
Datuk Tan Kean Tet

 

"Menerusi audit berkenaan, kami mempunyai kelebihan untuk menyelaraskan matlamat kami agar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB dan kami menyasarkan untuk mencipta nilai mampan jangka panjang.

 

"Keputusan audit itu membuktikan bukan sahaja kualiti pengeluaran kami berada pada tahap tertinggi tetapi juga tahap tanggungjawab sosial syarikat kami dan ia pasti memberikan keyakinan lebih ebsar kepada pelanggan Iconic WorldWide terutama ketika kami berusaha memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

"Kumpulan telah merangka dan melaksanakan sistem yang menyokong kesejahteraan dan kesihatan pekerja secara keseluruhan. Kami akan terus memeriksa keadaan tempat kerja kami secara berkala dan memenuhi tugas kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com