Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mac – Anak syarikat Malaysia yang dimiliki oleh iFAST Corporation Ltd iaitu iFAST Capital Sdn. Bhd. mengumumkan pelancaran perkhidmatan pembrokeran saham dan dana dagangan saham (ETF) terbaharu menerusi FSMOne Malaysia.
Platform pengurusan harta dalam talian yang menyediakan rangkaian produk luas itu membantu pelabur dalam mencapai matlamat pelaburan mereka, jelas iFAST Capital.
Pengurus Besar FSMOne Malaysia, Wong Weiyi berkongsi bahawa mereka bersyukur dapat memegang lesen Peserta Dagangan yang kini tersenarai dalam Bursa Malaysia sejak tahun 2009.
"Sejak tahun lepas, pangkalan data kami telah berkembang melebihi 100,000 akaun aktif.
"Oleh itu, dengan pelancaran platform dagangan saham dan ETF, kami percaya bahawa pelabur kami akan lebih menghargai Platform Pelbagai Aset yang dipertingkatkan ini," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Sejajar dengan komitmen iFAST Capital untuk menyediakan pengurusan harta yang terbaik di bawah satu platform, pelancaran produk baharu itu membolehkan pelabur do-it-yourself (DIY) untuk memperoleh unit amanah, bon, pengurusan portfolio dan insurans.
Dalam masa sama, pelabur mendapat akses mudah kepada saham dan ETF yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
FSMOne menjenamakan diri mereka sebagai platform Pelbagai Aset di mana pelabur boleh melabur dalam saham dan ETF, unit amanah, bon, pengurusan portfolio dan insurans dalam satu tempat.
Dengan yuran broker sebanyak 0.05% atau minimum RM8.80, FSMOne akan menyediakan platform yang holistik untuk memenuhi keperluan pelaburan semua pelanggan.
Melihat kepada peningkatan minat terhadap pasaran kewangan oleh pelabur baharu, iFAST Capital berusaha untuk menambah nilai dengan menyediakan penyelidikan mendalam dan kepakaran untuk memastikan pelabur dapat membuat keputusan yang tepat.
"Kami menerbitkan artikel berkala dan mengadakan program bersama pengurus dana untuk memastikan pelabur kami sentiasa bersedia untuk membuat keputusan dalam pelbagai situasi pasaran,“ tambah Weiyi.
Selain pelancaran platform saham dan ETF di Malaysia, iFAST Capital juga berhasrat untuk memperluaskan pasarannya dengan menyediakan saham dan ETF yang disenaraikan di Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong dalam masa terdekat.
FSMOne juga akan menawarkan promosi kepada pelabur sedia ada dan baharu untuk mencuba platform tersebut sambil menikmati komisen 0% sepanjang bulan tanpa had berakhir 30 April 2021. – DagangNews.com