iHACK 2022 anjuran UiTM lonjak bakat perintis industri keselamatan siber mahasiswa | DagangNews Skip to main content

iHACK 2022 anjuran UiTM lonjak bakat perintis industri keselamatan siber mahasiswa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) menganjurkan pertandingan keselamatan siber iHack 2022 sempena Siber Siaga 2022, yang berlangsung pada 19 dan 20 Disember 2022. 

 

Program tersebut merupakan kerjasama dengan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan Velum Labs Sdn Bhd.

 

Pusingan akhir iHack 2022 yang diadakan di Wisma Perwira menyaksikan 20 kumpulan finalis bersaing dalam cabaran Capture The Flag (CTF) ala Jeopardy bidang kriptografi, forensik komputer, rangkaian komputer, Perisikan Sumber Terbuka (OSINT), pawn challenge, eksploitasi web, reverse engineering dan steganografi dalam tempoh 24 jam.

 

Menurut Penolong Naib Canselor KPPIM UiTM, Prof Dr Haryani Haron, pihak kolej berasa bangga dan berbesar hati kerana sekali lagi telah berjaya menganjurkan pertandingan iHack bagi kali ke-10, pertandingan penggodaman dan pertahanan siber terbesar di Malaysia diketuai oleh Dr Mohsen Mohamad Hata.

 

Lt. Kol. Ts. Erman Shah Mohd Khafe dari BSEP yang juga pengarah Siber Siaga 2022 menyatakan bahawa adalah menjadi satu keperluan mengadakan acara seperti ini kerana amat penting institusi melindungi keselamatan negara di samping mewujudkan bakat-bakat tempatan dalam keselamatan dan risikan siber.

 

Dalam pada itu, Kumpulan CyberX 0x1 yang diwakili pelajar jurusan Sarjana Muda (Rangkaian Komputer dan Keselamatan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Saleh Mohamed Ahmed Abdelaal dan Anas Roubi Abdelsattar Roubi Nasr muncul sebagai juara iHack 2022 sekaligus pulang wang tunai berjumlah RM3500. 

 

Tempat kedua menjadi milik Team Cincai dari Multimedia University (MMU) yang diwakili oleh Tee Ee Yang, Wang Teng Zheng dan Choo Chi Siang, berjaya memenangi wang tunai berjumlah RM2,500. 

 

Tempat ketiga dimiliki oleh kumpulan L4P4Q dari UiTM Shah Alam yang terdiri daripada Muhammad Awis Qirani Zamani, Muhammad Hariz Tarmizi dan Noor Raihan Bin Abd Rahim membawa pulang RM1,500. 

 

Ketiga-tiga kumpulan itu turut membawa pulang hadiah iringan seperti Apple iPad Wifi 10th Generation 256 GB.

 

Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

 

Secara keseluruhannya, semua pemenang iHack 2022 membawa pulang hadiah dalam bentuk wang tunai dan hadiah iringan yang bernilai sehingga RM36,300 di taja oleh Velum Labs.

 

Ketua Operasi Siber Velum Labs, Mohd Azli Sastero turut menyatakan bahawa kejayaan iHack 2022 mendorong mereka untuk menyokong dan menerajui lebih banyak inisiatif dalam mengenal pasti serta membangunkan bakat tempatan dalam keselamatan siber. - DagangNews.com