KUALA LUMPUR 18 Dis - IHI Corporation dan Gentari Hydrogen Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penubuhan rantaian nilai ammonia hijau global.
Gentari dalam satu kenyataan berkata, penubuhan rantaian itu merangkumi pengeluaran, pengangkutan, penyimpanan dan penggunaan di Asia Pasifik dan kawasan lain yang mempunyai kepentingan bersama.
"Selain itu, pihak berkenaan juga akan meneroka kemajuan penggunaan komersil IM270, turbin gas berkuasa ammonia sepenuhnya, yang dibangunkan oleh IHI dengan sokongan daripada Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu Jepun (NEDO)," katanya.
Kerjasama yang dijangka bermula 2026, kerjasama komersial ini berpotensi menyaksikan turbin gas berkuasa ammonia pertama digunakan di dunia.
Menerusi kerjasama ini, IHI dan Gentari menyasarkan untuk mewujudkan permintaan bagi ammonia hijau di Malaysia dan Asia Pasifik yang lebih luas.
Mereka juga berhasrat mempercepatkan penggunaan hidrogen bersih bagi mempercepatkan peralihan tenaga yang berdaya maju, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia dan Pelan Hala Tuju Ekonomi & Teknologi Hidrogen sebagai serta aspirasi sifar bersih rantau ini. - DagangNews.com