KUALA LUMPUR 15 Mei — Iskandar Investment Berhad (IIB) mengumumkan penambahan usaha sama Perkhidmatan Perniagaan Global Iskandar@Medini melalui dua Memorandum Persefahaman utama dengan GBS Malaysia dan iTrain Asia serta kerjasama dengan MDEC untuk mengukuhkan ekosistem GBS di Medini, Iskandar Puteri.
Inisiatif ini mengukuhkan komitmen IIB untuk meletakkan Medini sebagai Daerah Pusat Perniagaan Sifar Karbon Bersih (CBD) pertama di rantau ini menjelang 2030 yang menumpukan kepada digital, inovasi dan GBS.
Selaras dengan komitmen ini, IIB menyasarkan pencapaian pelaburan sebanyak RM1 bilion menjelang 2030 di Medini.
Sasaran pelaburan ini juga akan membantu menjana 2,500 pekerjaan dalam sektor ekonomi digital sekali gus mengukuhkan kedudukan Medini sebagai hab digital dan inovasi Johor.
Presiden/CEO IIB, Dato' Idzham Mohd Hashim berkata, program GBS Iskandar telah mencapai sejumlah RM2.6 bilion pelaburan dan mewujudkan 6,500 pekerjaan di Medini sejak penubuhannya pada 2016.
"Ketika kami melaksanakan bahagian seterusnya bagi inisiatif GBS Iskandar, IIB terus memperkukuhkan komitmen untuk memupuk pertumbuhan dan inovasi dalam sektor GBS Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kejayaan GBS Iskandar di Medini disokong oleh lokasinya yang strategik, berfungsi sebagai pusat pengangkutan pelbagai dengan jaringan melalui darat, air dan laut.
Kedudukan unik Medini yang terletak di antara dua lapangan terbang antarabangsa, tiga pelabuhan utama dan hanya 40 minit dari Singapura menjadikannya destinasi ideal untuk syarikat-syarikat GBS.
"Dengan memanfaatkan kerjasama dalam rangka kerja Quadruple Helix (Industri, Akademik, Sektor Awam dan Masyarakat Umum), kami bersedia untuk menawarkan penyelesaian tuntas merangkumi insentif, usaha strategik, pembangunan bakat, serta urusan perhubungan kerajaan dalam memastikan syarikat GBS berkembang maju dalam landskap Medini yang rancak," kata beliau.
Usahasama antara IIB dan GBS Malaysia akan menumpukan usaha bagi memacu Medini menjadi hab serantau yang terulung untuk operasi GBS.
Perkongsian ini akan memperkasakan tawaran nilai unik (UVP) Medini kepada syarikat GBS, seperti lokasi strategik, infrastruktur termaju dan ekosistemnya yang menyokong.
Perkongsian strategik ini menggariskan komitmen bersama untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi digital global.
Selain itu, kerjasama IIB dan iTrain Asia dirancang untuk memperkukuh impak inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula yang disesuaikan untuk memperkasakan syarikat dalam meningkatkan rantaian nilai melalui inisiatif AI, automasi dan kelestarian.
Ini akan memastikan tenaga kerja GBS dilengkapi dengan pengetahuan terkini yang penting untuk berjaya dalam ekonomi digital.
Kerjasama ini akan memupuk persekitaran inovasi dan pembelajaran berterusan untuk memenuhi keperluan semasa syarikat GBS, sekali gus meletakkan Medini sebagai destinasi utama untuk pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan mampan di rantau ini.
IIB mengalu-alukan perkongsian yang akan dimeterai dengan MDEC, agensi kerajaan terkemuka dalam memacu pelaburan langsung asing untuk industri GBS. Usaha sama ini, yang dijadual diumumkan pada suku ketiga 2024, bertujuan untuk menyasarkan syarikat baharu yang mencari persekitaran strategik dan disokong baik untuk pengembangan. - DagangNews.com