IILM terbit sukuk penarafan A-1 untuk jangka pendek bernilai RM1.10 bilion | DagangNews Skip to main content

IILM terbit sukuk penarafan A-1 untuk jangka pendek bernilai RM1.10 bilion

KUALA LUMPUR 5 Julai - Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) menerbitkan sukuk penarafan A-1 jangka pendek untuk tempoh 12 bulan pertamanya bernilai AS$250 juta (RM1.10 bilion).

 

IILM turut menerbitkan sukuk dengan tempoh satu bulan dan tiga bulan dengan jumlah yang diperuntukkan masing-masing sebanyak AS$250 juta (RM1.10 bilion) dan AS$330 juta (RM1.45 bilion).

 

Katanya, tiga siri itu pada harga kompetitif sebanyak 1.9% untuk sukuk dengan tempoh satu bulan, 2.45% untuk sukuk dengan tempoh tiga bulan dan 3.65% untuk sukuk dengan tempoh 12 bulan.

 

“Terbitan semula sukuk itu merupakan lelongan sukuk kelapan IILM untuk 2022 yang menarik minat yang ketara dalam kalangan peniaga dan pelabur utama Islam dalam pasaran Majlis Kerjasama Teluk dan Asia.

 

“Tender kompetitif itu menyaksikan nilai perolehan kontrak yang kukuh melebihi AS$1.59 bilion (RM7.03 bilion), mewakili purata nisbah bida kepada liputan sebanyak 192%,"  katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif,  Dr. Umar Oseni berkata, syarikat gembira dengan berakhirnya lelongan sebanyak AS$830 juta (RM3.66 bilion) menjelang cuti Aidiladha.

 

“Lelongan ini adalah satu pencapaian buat kami berikutan ia merupakan terbitan sulung IILM untuk sukuk bagi tempoh 12 bulan dan kami gembira kerana ia diterima baik oleh pasaran, dengan permintaan untuk peringkat tersebut mencecah 1.85 kali saiz terbitan (sebanyak US$250 juta).

 

“Walaupun pasaran turun naik dalam persekitaran kadar yang meningkat untuk memerangi inflasi, terbitan yang berjaya terus menunjukkan komitmen dan peranan utama IILM dalam mempelbagaikan penawaran instrumen mudah tunai patuh Syariah yang berkualiti tinggi, terutamanya dalam membina keluk hasil terbitan sehingga 12 bulan,” katanya.

 

Setakat ini, IILM telah mencapai terbitan terkumpul berjumlah AS$8.06 bilion (RM35.62 bilion) melalui 22 siri sukuk. - DagangNews.com