IJM diunjur raih keuntungan sehingga RM88 juta menerusi kontrak RTS-Link bernilai RM1.1 bilion, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

IJM diunjur raih keuntungan sehingga RM88 juta menerusi kontrak RTS-Link bernilai RM1.1 bilion, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - IJM Corporation Berhad diunjur meraih untung kasar antara RM77 juta hingga RM88 juta daripada kontrak RM1.1 bilion bagi pembinaan Kompleks Kastam dan Kuarantin Imigresen (ICQC) pautan Sistem Transit Rapid (RTS) dari Johor Bahru ke Singapura.

 

MIDF Research berkata, kontrak terdiri daripada Pakej 2A untuk reka bentuk, pembinaan dan penyiapan ICQC dan Pakej 2B untuk kerja luar.

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan kasar antara 7% hingga 8%, kedua-dua pakej itu dijangka menyumbang sejumlah RM77 juta hingga RM88 juta keuntungan kasar, yang kebanyakannya akan diiktiraf pada tahun kewangan 2026 dan 2027

 

"Walaupun tarikh permulaan projek itu masih tidak jelas pada masa ini tetapi ia dijangka siap pada 30 Disember 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: IJM raih kontrak RM1.1 bilion bagi pembinaan Pakej 2A, 2B Kompleks Kastam dan Kuarantin Imigresen RTS-Link

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek bagi sektor pembinaan adalah positif, dengan jangkaan projek infrastruktur berskala besar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi

 

Katanya, IJM, sebagai antara nama besar dalam sektor itu berpeluang mendapat manfaat disokong oleh portfolionya yang luas dan kunci kira-kiranya yang sihat.

 

Kumpulan itu juga merupakan antara pesaing utama MRT3 dengan tender dikemukakan untuk ketiga-tiga pakej utama.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana kemenangan kontrak baharu itu adalah dalam jangkaan penambahan semula.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.11 sesaham," katanya. - DagangNews.com