IJM diunjur raih pendapatan minimum daripada Global Vision Logistics pada FY26 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

IJM diunjur raih pendapatan minimum daripada Global Vision Logistics pada FY26 – RHB Investment

Global Vision Logistic merupakan pemaju Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam, yang mana IJM juga adalah kontraktor bagi Fasa 1A hab itu.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - RHB Investment mengekalkan unjuran pendapatan IJM Corp Berhad memandangkan sumbangan pendapatan Global Vision Logistic (GVL) adalah minimum untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) dan sebelum memperoleh butiran lanjut tapak projek di United Kingdom (UK).

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan 25% kepentingan IJM dalam GVL, anggaran keuntungan bersih tahunan yang boleh diagihkan kepada kumpulan berjumlah kira-kira RM1.7 juta.

 

“Namun, sumbangan pendapatan sebenar hanya boleh didapati pada FY26 pada sekitar RM1.4 juta atau 0.3% daripada pendapatan, dengan andaian kadar penggunaan pada paras 80%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 12 Januari, IJM memperoleh 25% kepentingan dalam GVL, yang merupakan pemaju Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) daripada Swift Haulage dan Hartamas Mentari dengan bernilai RM89 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IJM labur dalam perniagaan gudang Malaysia, beli hartanah di UK

 

RHB Investment juga menganggarkan sasaran harga kepada pendapatan (P/E) lebih tinggi sebanyak 16 kali ganda berbanding 12 kali ganda untuk cabang pembinaan, mencerminkan tahap IJM didagangkan semasa kitaran menaik sektor pembinaan pada pertengahan 2017.

 

Di samping itu, IJM telah membeli tapak brownfield The Wheat Quarter di Hertforshire, UK, yang telah diluluskan untuk 811 rumah dan 150,000 kaki persegi ruang terpakai bercampur.

 

“Pengambilalihan sedemikian mengikut rekod prestasinya untuk projek Royal Mint Gardens di Central London dan perkongsian IJM dengan Network Rail.

 

“Potensi nilai pembangunan kasar (GDV) projek terbabit tidak dimaklumkan, tetapi berdasarkan ringkasan eksekutif, ia dijangka sekurang-kurangnya 300 juta pound sterling (RM1.78 bilion).

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.47 sesaham daripada RM2.21 sebelumnya, selepas menganggap premium ESG 2% berdasarkan skor ESG yang disemak semula sebanyak 3.1 kerana SAILH menyasarkan untuk mencapai penarafan perak GreenRE tempatan.

 

Pada pukul 4:04 petang ini, saham IJM telah menokok 10 sen atau 4.8% kepada RM2.19 dengan permodalan pasarannya bernilai RM7.99 bilion.  - DagangNews.com