IJM Land lancar rumah mampu milik, Rimbun Aman bernilai RM125 juta | DagangNews Skip to main content

IJM Land lancar rumah mampu milik, Rimbun Aman bernilai RM125 juta

Rimbun Aman, rumah teres satu tingkat yang berpatutan dan selesa, disediakan untuk pembeli rumah pertama.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Sejajar dengan cabaran kewangan yang dihadapi oleh masyarakat, pemaju hartanah terkemuka, IJM Land Berhad telah melancarkan pembangunan perumahan mampu miliknya yang terkini, Rimbun Aman di Seremban 2 Heights dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM125 juta.

 

Dibina di atas seluas 42 ekar, Rimbun Aman menawarkan 304 unit rumah teres satu tingkat berpegangan bebas, dijual dengan harga bermula daripada RM350,000, menurut kumpulan dalam satu kenyataan.

 

Pengurus Besar Kanan IJM Land, Datuk Hoo Kim See, berkata, Rimbun Aman telah mencapai jualan yang amat memberangsangkan dalam masa dua hari pelancarannya.

 

Hoo Kim See
Datuk Hoo Kim See

 

“Sebagai sebuah perbandaran yang pernah memenangi anugerah perbandaran terancang, pemilik Rimbun Aman akan menikmati pelbagai faedah dari segi kemudahan fasiliti yang disediakan.

 

“Rimbun aman bukan sahaja sebuah projek yang menjadi pilihan segenap peringkat usia, malah kadar pulangan masa hadapan yang baik juga merupakan antara faktor utama untuk pembeli memiliki rumah di sini untuk sesebuah rumah impian, pembeli akan mencari harta tanah yang mampu mereka miliki.

 

“Namun begitu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak menentu ini akan menyukarkan lagi pembeli rumah untuk memberikan komitmen terhadap pembelian hartanah yang bernilai tinggi, terutamanya apabila mereka memperuntukkan wang simpanan mereka bagi komitmen-komitmen lain. Oleh itu, kami ingin membantu pembeli rumah, khususnya bagi keluarga muda, untuk memiliki rumah idaman mereka tanpa menjejaskan wang simpanan,” jelas beliau.

 

Menerusi lokasi yang strategik di dalam perbandaran Seremban 2 yang semakin berkembang pesat, kawasan perumahan itu merupakan sebuah perbandaran serba lengkap yang menawarkan kemudahan moden dan bandar sambil mengekalkan ketenangan suasana sekeliling.

 

Seiring dengan seruan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat sihat, Rimbun Aman juga berdekatan dengan kemudahan seperti S2 Club bagi mengekalkan kesihatan dan kecergasan, Hill Park seluas 30 ekar dan City Park seluas 15 ekar untuk aktiviti kekeluargaan, serta Kepayang Hill bagi pencinta aktiviti luar.

 

Rimbun Aman juga mempunyai kemudahan akses keluar masuk tol yang menghubungkan pelbagai jalan utama terus ke Lebuhraya Utara Selatan.

 

Selain itu, pembeli tidak perlu menanggung sebarang kos kemasukan, kerana semua kos seperti yuran undang-undang, duti setem untuk SPA dan pinjaman akan ditanggung oleh IJM Land.

 

IJM Land juga menyediakan pakej pembayaran bulanan di mana pembeli rumah akan diberikan RM500 setiap bulan bermula bulan berikut pengeluaran pertama dari pemodal sehinggalah serahan pemilikan kosong untuk unit tersebut dilakukan. - DagangNews.com