Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat pemaju hartanah di Malaysia, IJM Land Berhad (IJM Land) berjaya menerapkan konsep komuniti dalam pembangunan landskap di kawasan perbandaran Seremban 2, Negeri Sembilan.
Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, pemaju yang terbaik perlu mempunyai perancangan landskap sebelum menjalankan projek pembinaan kediaman.
Ujarnya, penduduk di bandar berkenaan menghargai landskap yang berjaya mendorong mereka untuk bertemu dan berkumpul demi memupuk semangat kejiranan yang erat dalam kehidupan masyarakat.
"Sebagai pemaju, menggabungkan elemen reka bentuk hijau dan inovasi dalam landskap adalah sangat penting kerana ia telah membuktikan bahawa perancangan dan reka bentuk landskap yang tepat, ditambah dengan faktor kelestarian, membantu mewujudkan persekitaran yang menggembirakan penduduk.
"Selain itu, landskap menawarkan peluang untuk menjana lebih banyak nilai kepada pembeli rumah dan mengubah persepsi terhadap perbandaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas 26 tahun, Seremban 2 muncul sebagai salah sebuah lokasi pembangunan paling progresif dan berjaya di Negeri Sembilan dengan gabungan baik iaitu kawasan kediaman, pusat komersial dan kawasan perindustrian ringan.
Tahap pembangunan yang mencapai 70%, Seremban 2 kini menempatkan populasi lebih 62,000 penduduk.
Memiliki keluasan 3,800 ekar, reka bentuk landskap di Seremban 2 telah mengalami beberapa tahap evolusi dengan mengambil kira faktor alam semula jadi.
Ruangan yang luas dan kaya dengan kehidupan alam semula jadi menjadikan suatu pengalaman bermakna dalam kehidupan masyarakat di Seremban 2.
Melalui perancangan landskap yang luas, Seremban 2 menghiasi jalan dan ruang hijau dengan lebih 40,000 pokok dan tumbuh-tumbuhan yang tidak hanya menyuntik suasana desa, malah dapat disesuaikan dengan iklim setempat.
Tanaman tidak berduri, tidak beracun dan tidak berbuah serta penjagaan minimum dipilih mengikut kriteria yang ditetapkan oleh PBT.
Tambah beliau, pokok yang dipilih juga boleh meredupkan kawasan setempat dan tahan lasak serta mampu hidup walaupun ditanam dalam tanah yang keras, air bertakung, kekurangan nutrien dan air.
“Pokok yang ditanam di Seremban 2 mengikut panduan yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan mengambil kira setiap pembangunan perlu dilindungi oleh minimum 10% kawasan hijau.
"Walaupun perancangan landskap dilakukan mengikut panduan khusus, kami masih menerapkan unsur yang dapat memperlihatkan keperibadian Seremban 2 termasuk dengan penggunaan pohon pelangi (Rainbow Red Gum) dan batai laut (Yellow Flame) untuk menonjolkan suasana desa,
"Selain memberikan kehidupan yang berkualiti dan persekitaran yang tenang, perancangan landskap seharusnya menjadi pertimbangan pertama dalam setiap pembangunan untuk memastikan kemajuan yang konsisten,” ujar beliau lagi. - DagangNews.com