IJM raih untung bersih RM87 juta pada 1QFY25, susut 13.6% akibat kerugian pertukaran wang asing   | DagangNews Skip to main content

IJM raih untung bersih RM87 juta pada 1QFY25, susut 13.6% akibat kerugian pertukaran wang asing  

Segmen pembinaan IJM dijangka menunjukkan prestasi lebih baik pada FY25. -Gambar IJM Corp
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Ogos - IJM Corporation Berhad meraih untung bersih sebanyak RM86.88 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25), merosot 13.6% daripada RM100.64 juta setahun yang lalu.

 

Dalam suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu, pendapatan IJM bagaimanapun meningkat 14.6% kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.22 bilion pada 1QFY24.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, keuntungan sebelum cukai Kumpulan menurun sebanyak 15.0% terutamanya disebabkan oleh kerugian pertukaran wang asing.

 

"Pada 1QFY24, kumpulan mencatatkan keuntungan pertukaran asing tidak nyata sebanyak RM41.7 juta yang direkodkan berbanding dengan kerugian pertukaran asing tidak nyata sebanyak RM1.4 juta pada 1Q FY2025.

 

"Selain itu, Kumpulan juga mengiktiraf kerugian nilai saksama ke atas waran WCE Holdings Berhad (WCEHB) sebanyak RM19.9 juta pada 1QFY25. 

 

"Setelah mengecualikan kesan pergerakan pertukaran asing tidak nyata dan kerugian nilai saksama, keuntungan sebelum cukai Kumpulan meningkat sebanyak 26.0%," katanya hari ini.

 

Mengenai prospek, IJM yakin berada dalam kedudukan yang baik untuk mencatatkan prestasi yang lebih baik pada FY25 dengan segmen pembinaan Kumpulan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan penyelesaian tepat pada masanya bagi buku pesanan yang bernilai RM6.5 bilion. 

 

Katanya, buku pesanan meningkat sebanyak RM1.3 bilion pada suku semasa yang merangkumi Industri Siliconware Precision Fasa 1, Pusat Data Iskandar Puteri, dan United Logistic Hub (Plot A). 

 

"Dengan buku pesanan semasa dan jangkaan kemenangan projek tambahan sepanjang FY25, segmen ini dijangka akan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada FY2025," jelasnya.

 

Sementara itu, kata IJM, pasaran hartanah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, disokong oleh prospek ekonomi yang positif dan sentimen pengguna yang kukuh. 

 

Menurutnya, dengan jualan yang belum dibil sebanyak kira-kira RM2.3 bilion dan pelancaran hartanah baharu yang pelbagai dijadualkan untuk FY25, segmen hartanah berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan prestasi cemerlangnya pada FY25.

 

"Perniagaan tol dijangka mengekalkan prestasinya untuk FY25. Lebuh raya yang matang terus memberikan Kumpulan aliran hasil dan aliran tunai berulang, manakala lebuh raya yang baru masih dalam tempoh percubaan sebelum mencapai kematangan.

 

"Prestasi perniagaan pelabuhan kekal positif dengan jangkaan peningkatan dalam jumlah kargo pukal seperti bauksit dan pasir silika, serta memanfaatkan kapasiti pengendalian yang meningkat dan kecekapan yang dipertingkatkan," ujarnya. - DagangNews.com