Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Dis - IKEA bakal menganjurkan pameran kerjaya dari 7 hingga 9 Januari 2022 di IKEA Batu Kawan, yang menawarkan lebih 70 jawatan tetap dan sambilan.
Dalam satu kenyataan syarikat itu berkata, penganjuran pameran kerjaya itu seiring dengan fasa pemulihan pasca pandemik, yang menyaksikan perniagaan kini kembali rancak dengan pelbagai inisiatif strategik untuk membuka tirai tahun 2022.
Katanya, antara kerjaya yang ditawarkan termasuklah jawatan-jawatan tetap dari pelbagai bahagian seperti Reka Bentuk Dalaman, Perhubungan Pelanggan, Jualan dan Makanan.
"Selain itu, bagi menaik taraf pengalaman pelanggan di gedung IKEA, cawangan berkenaan juga giat menggaji jawatan-jawatan sambilan merentasi bahagian Perhubungan Pelanggan serta Makanan & Jualan.
"Tidak kira kakitangan tetap atau sambilan, keluarga IKEA berhak menikmati faedah pekerja yang saksama, daripada perlindungan perubatan, bayaran insentif tahunan, sehinggalah sokongan pembelajaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, selari dengan perkongsian nilai bersama yang mempromosikan budaya keterbukaan, keterangkuman dan ketelusan, IKEA percaya setiap individu mampu menyumbangkan sesuatu yang bernilai.
"Pelbagai faedah ditawarkan yang membolehkan rakan sekerja IKEA menikmati manfaat perubatan, diskaun 15% untuk semua produk IKEA, serta hadiah perayaan bermusim, hari jadi dan ganjaran kesetiaan menerusi Anugerah IKEA Long Service.
"Untuk maklumat lanjut tentang pameran kerjaya IKEA Batu Kawan, sila layari IKEA.my/batukawan," katanya. -DagangNews.com