SHAH ALAM 7 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewajibkan pihak yang ingin menaikkan paparan iklan di Kuala Lumpur, supaya mendapat pengesahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang betul.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan bahasa lain pada paparan iklan dibenarkan sebagai mengiringi ungkapan utama dalam Bahasa Melayu.
“Dalam isu paparan iklan yang dipasang di sekitar pusat membeli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, pihak berkaitan didapati tidak mematuhi kelulusan yang telah dikeluarkan.
“Paparan iklan yang diluluskan DBP adalah dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa ungkapan utama dan diiringi dengan bahasa lain.
“Namun apabila berlaku pemasangan paparan iklan di tapak, berlaku ketidakpatuhan kepada kelulusan yang diberikan.
“Bahasa iringan telah dijadikan ungkapan utama. Menyedari kesilapan yang dilakukan, pihak berkaitan bertindak menurunkan sendiri paparan iklan tersebut,” menurut DBKL.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai paparan iklan berhampiran Mid Valley, Kuala Lumpur yang didapati tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai ungkapan utama, sehingga menarik perhatian Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, dalam ciapannya di Twitter. Iklan itu kemudiannya diturunkan oleh syarikat itu sendiri.
DBKL berkata, terdapat 6 jenis lesen iklan di WPKL yang dikeluarkan DBKL dan salah satu daripadanya adalah lesen iklan paparan luar.
“Lesen iklan paparan luar ini tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihanraya) (WPKL) 1990.
“Sebarang ketidakakuran kepada akta atau undang-undang kecil ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawahnya,” menurut DBKL lagi. - DagangNews.com