ILB Group beli syarikat tenaga solar, Armani Sinar pada harga RM98 juta | DagangNews Skip to main content

ILB Group beli syarikat tenaga solar, Armani Sinar pada harga RM98 juta

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pembekal sistem tenaga solar atas bumbung ILB Group Bhd (ILB) membeli sebuah syarikat tenaga solar dan asetnya dengan nilai RM98 juta.

 

ILB membeli Armani Sinar Sdn Bhd daripada Andy Woo Weng Kok berjumlah RM30 juta dan RM68 juta lagi untuk pemerolehan sistem solar fotovoltaic (PV) daripada syarikat tersebut.

 

Armani Energy merupakan sebuah syarikat diasaskan Woo. 

 

Selain beliau, pemegang saham lain syarikat itu ialah Datuk Seri Azlan Azmi dan Datuk Seri Wong Sze Chien.

 

Kata ILB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Armani Energy memiliki kira-kira 16.9 megawatt puncak (MWp) aset solar.

 

Kumpulan itu menambah, pemerolehan Armani Sinar dan aset PV solar akan dibiayai oleh dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Sehingga akhir Mac 2024, deposit ILB, tunai dan baki bank syarikat itu berjumlah RM65.59 juta, manakala jumlah pinjamannya berjumlah RM21.18 juta, menurut penyata kewangan terkini kumpulan itu.

 

ILB berkata pengambilalihan Armani Sinar bakal memberi jaminan keuntungan sekurang-kurangnya RM8 juta secara agregat untuk tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026.

 

"Cadangan itu akan meningkatkan nilai pemegang saham syarikat kerana ia memberi peluang kepada ILB mengembangkan perniagaan solarnya, meluaskan bahagian pasaran dan keupayaan operasinya serta meningkatkan hasil dan keuntungannya," kata kumpulan itu.

 

Setelah selesai pengambilalihan, ILB berkata ia akan mengoptimumkan operasi Armani Sinar dan memaksimumkan penggunaan aset solar melalui projek solar atas bumbung.

 

Syarikat itu juga menambah bahawa ia akan mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pemerolehan Armani Sinar dan aset PV solar pada mesyuarat agung yang akan diadakan kemudian.

 

Pemerolehan Armani Sinar dan aset PV solar dijangka siap masing-masing pada suku keempat 2024 dan menjelang suku pertama 2025.

 

Saham ILB ditutup naik setengah sen atau 0.81% kepada 62 sen semalam, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM119.94 juta.

 

Kaunter telah jatuh 15% tahun setakat ini.- DagangNews.com