IMF unjur pertumbuhan global menyusut kepada 2.9% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

IMF unjur pertumbuhan global menyusut kepada 2.9% pada 2023

KUALA LUMPUR 31 Jan - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan global menyusut kepada 2.9% tahun ini berbanding anggaran 3.4% yang dibuat pada 2022.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka pulih kepada 3.1% menjelang 2024. 

 

Jangkaan bagi 2023 ialah 0.2 mata peratusan lebih tinggi daripada yang diramalkan dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia Oktober 2022 tetapi di bawah purata 10 tahun sebanyak 3.8 peratus, katanya dalam kemas kini ekonomi terkini.
 

Kenaikan kadar faedah bank pusat untuk memerangi inflasi dan perang Rusia-Ukraine akan terus memberi impak kepada aktiviti ekonomi tahun ini. 

 

Semasa taklimat maya hari ini, Pengarah Jabatan Penyelidikan IMF Pierre-Olivier Gourinchas berkata, inflasi global dijangka turun daripada 8.8% pada 2022 kepada 6.6% pada 2023 dan kepada 4.3% menjelang 2024 tetapi ini masih melebihi paras pra pandemik (2017 hingga 2019) iaitu kira-kira 3.5%. 

 

"Ekonomi global mungkin terus perlahan tahun ini sebelum pulih tahun depan, serta pertumbuhan akan kekal lemah berdasarkan standard sejarah, ketika usaha menentang inflasi dan perang Rusia di Ukraine memberi kesan kepada aktiviti," katanya, lapor Bernama. 

 

Gourinchas berkata, penularan pantas COVID-19 di China telah menjejaskan pertumbuhan pada 2022, tetapi pembukaan semula baru-baru ini membuka jalan kepada pemulihan yang lebih cepat daripada jangkaan. 

 

"Pembukaan semula China secara tiba-tiba telah mendorong pemulihan pesat dalam aktiviti dan keadaan kewangan global telah bertambah baik apabila tekanan inflasi mula berkurangan.
 

"Penyusutan dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras tertinggi pada November 2022 memberikan sedikit kelegaan sederhana kepada ekonomi baru muncul dan membangun," katanya.
 

Beliau menjelaskan lagi, ekonomi maju akan menyaksikan kelembapan yang lebih ketara dengan penurunan daripada 2.7% tahun lepas kepada 1.2% tahun ini, dengan sembilan daripada 10 ekonomi maju menyaksikan pertumbuhan merosot pada 2023. 

 

China pula dijangka mencatatkan pemulihan pertumbuhan kepada 5.2% pada 2023 dan bersama-sama dengan India akan menyumbang separuh daripada pertumbuhan global tahun ini, manakala AS termasuk rantau Eropah secara gabungan akan menyumbang 10% sahaja. 

 

Sebaliknya, Gourinchas berkata imbangan kunci isi rumah dan pertumbuhan gaji yang kukuh mampu membantu mengekalkan permintaan swasta walaupun ini berpotensi merumitkan usaha menentang inflasi.

 

Sementara itu, kelegaan dalam kesesakan rantaian bekalan termasuk kelembapan dalam pasaran buruh akibat kekurangan kekosongan jawatan mampu dikurangkan dan ia memerlukan dasar moetari yang lebih ketat.

 

Beliau juga menyatakan banyak laporan baru-baru ini mengumumkan bahawa keadaan inflasi akan lebih baik tetapi penyelesaian sebenar masih jauh dengan dasar monetari semasa ditambah dengan kelembapan dalam pembinaan rumah baharu di banyak negara. 

 

Mengenai kenaikan kos sara hidup, beliau berkata banyak negara telah bertindak balas terhadap krisis itu dengan menyokong perniagaan dengan dasar yang luas dan tidak disasarkan dengan tujuan membantu mengurangkan kejutan.

 

"(Bagaimanapun), banyak langkah ini terbukti menelan belanja yang besar dan semakin tidak mampan.

 

"Sesebuah negara sebaliknya harus mengamalkan langkah-langkah bersasar yang bersesuaian dengan ruang fiskal, membenarkan harga tenaga yang tinggi untuk mengurangkan permintaan tenaga dan cuba elak daripada merangsang ekonomi secara keterlaluan," katanya. - DagangNews.com