Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
Sektor automotif negara menutup tirai jualan pada Disember 2020 dengan peningkatan sebanyak 21.8% kepada 68,836 buah kenderaan, berbanding 56,489 pada bulan sebelumnya.
Jumlah yang dicatatkan pada Disember itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2020 menurun 12.4%.
Penurunan tersebut mencatatkan 529,234 unit kenderaan yang dijual berbanding 604,281 pada 2019.
Melihat kepada angka keseluruhan jualan tersebut, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tampil meletakkan sasaran TIV bagi 2021 sebanyak 570,000 unit.
Soalnya, adakah prestasi jualan tahun 2021 akan terus cemerlang? Atau terpaksa 'bertarung' dengan impak COVID-19?
Memasuki lembaran 2021, jualan TIV pada Januari dilihat kembali menyusut sebanyak 24% kepada 32,829 unit berbanding 42,942 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
MAA memberitahu, penguncupan jualan tersebut berpunca daripada penurunan jumlah pengunjung ke bilik pameran ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Selain itu, kesan penutupan beberapa pembekal alat ganti disebabkan COVID-19 mengakibatkan kekurangan bekalan komponen dan alat ganti untuk sebahagian syarikat.
Meskipun pada bulan pertama 2021, impak penularan wabak COVID-19 jelas sekali mengganggu industri automotif untuk terus mencipta lonjakan cemerlang.
Menilai kepada keadaan tersebut, MAA meletakkan jangkaan jualan bagi Februari yang lebih perlahan berbanding Januari 2021 disebabkan tempoh hari bekerja yang lebih pendek.
Sementara itu, CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, jualan kenderaan diramal melonjak bermula Mac 2021 dan seterusnya.
Baca: Proton, Perodua kekal pilihan utama pembeli
Ramalan itu dinilai kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi selain permulaan program vaksinasi COVID-19 kebangsaan.
“Kami berpendapat sektor ini kekal dalam landasan tepat untuk mencatatkan pemulihan perolehan bagi 2021 dan mengunjurkan 60% pertumbuhan keuntungan bersih berbanding -39% bagi tahun lalu.
“Walaupun pelaksanaan PKP 2.0 mungkin mendorong TIV yang lebih rendah bagi 1Q21 kerana kekurangan kehadiran pengunjung ke pusat pameran, namun kami masih menjangkakan TIV akan melonjak semula bermula 2Q21.
"Ia memandangkan kami masih optimistik (secara berhati-hati) terhadap pemulihan yang lebih kukuh dalam aktiviti ekonomi dengan pengedaran vaksin COVID-19 secara meluas," jelas CGS-CIMB Research.
Menilai kepada sektor sama, Kenanga Research dalam nota kajiannya baru-baru ini memberitahu, pihaknya meletakkan sasaran jualan TIV pada tahun 2021 sebanyak 585,000 unit.
Kenanga Research berkata, pihaknya yakin dengan pelancaran model baharu kenderaan Perodua ATIVA, Proton X50, Honda City dan Nissan Almera dapat membantu lonjakan jualan selain lanjutan pengecualian cukai jualan hingga 30 Jun 2021.
"Secara keseluruhan, 2021 berpotensi menjadi tahun yang lebih baik bersama program insentif di bawah Dasar Automotif Negara (NAP) 2020," jelas Kenanga Research.
Di sebalik pelancaran model baharu, segmen kereta terpakai juga terus mendapat permintaan tinggi di negara ini.
Kehadiran wabak COVID-19 memberi kesan berbeza kepada prestasi jualan kenderaan terpakai.
Selain bantuan moratorium dan insentif cukai yang diperkenalkan kerajaan untuk menarik minat pembeli, keputusan untuk memandu kenderaan sendiri menjadi pendorong dalam tempoh tersebut.
Hal ini kerana, orang ramai lebih memilih untuk memandu kenderaan sendiri dan mengelak untuk berkongsi pengangkutan awam kerana bimbang terhadap jangkitan wabak.
Dalam pada itu, kadar harga kenderaan terpakai yang jauh lebih rendah dan menjimatkan turut menjadi pilihan pembeli dalam tempoh ekonomi mencabar ini.
Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor memberitahu, jualan kereta terpakai terutamanya yang berharga di bawah RM30,000 melonjak lebih 100% pada separuh pertama 2020.
Ia didorong oleh pengumuman moratorium PRIHATIN yang telah memberikan laluan kepada pertambahan urusan sewa beli.
"Kenderaan terpakai telah menjadi komoditi paling laris industri ini kerana pengguna lebih suka memandu kenderaan sendiri semasa pandemik dan berjimat dalam iklim ekonomi yang tidak menentu ini.
"Sebahagian besar wakil penjual terus mencatatkan pemulihan penjualan pada suku ketiga 2020 yang menyaksikan jualan bulan Julai tahun ke tahun mengukuh lebih 25% kepada 37,800 unit.
"Bulan Ogos dan September pula mencatatkan pertumbuhan melebihi 17% tahun ke tahun," jelas beliau ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Pada 2019, kenderaan terpakai mencatatkan jualan kira-kira 400,000 unit.
Pada 2020 pula, prestasi jualan terus meningkat dengan lebih baik sebanyak 1%.
Ditanya jangkaan untuk 2021, beliau berkata, pihaknya meletakkan sasaran jualan yang lebih cemerlang dengan peningkatan hingga 10%.
"Kalau kita lihat sekarang banyak kenderaan-kenderaan baharu dilancarkan, secara tidak langsung ramai juga yang buat 'trade-in'.
"Selain itu, kami juga memperkenalkan EZ Auto (www.ezauto.my) sebagai satu platform dalam talian untuk meningkatkan promosi jualan kenderaan terpakai.
"Kami yakin prestasi jualan untuk 2021 akan terus meningkat dengan lebih efisyen hingga 10%," katanya lagi. - DagangNews.com