Impak 'lockdown' berterusan, unjuran pendapatan FY21 Hup Seng diturunkan 22% | DagangNews Skip to main content

Impak 'lockdown' berterusan, unjuran pendapatan FY21 Hup Seng diturunkan 22%

Hup Seng Industries Bhd (Hup Seng)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Syarikat pembuatan biskut terkemuka, Hup Seng Industries Bhd (Hup Seng) dilihat terus berdepan dengan impak pelaksanaan perintah berkurung atau 'lockdown'.

 

TA Securities berkata, pihaknya menurunkan unjuran pendapatan Hup Seng sebanyak 22% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) setelah menilai kepada impak berkenaan.

 

Jelas nota kajian itu, pengurangan pendapatan yang dibuat adalah jumlah yang agak besar bagi tahun kewangan berkenaan.

 

"Kami mengurangkan unjuran pendapatan FY21/22 dan 23 sebanyak 22%/7.2% dan 5.3%.

 

"Jumlah itu diletakkan bagi menunjukkan prestasi rendah yang dicapai pada suku kedua 2021 selain kekangan berkaitan tenaga kerja dan jangkaan kos input yang lebih tinggi.

 

"Selain itu, jangkaan DPS kami dikurangkan kepada 4.5/5.0 dan 6.0 sen  berbanding 6.0/6.0 dan 6.0 sen bagi FY21,FY22 dan FY23," jelas TA Securities.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'jual' saham Hup Seng dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM0.98.

 

Hup Seng mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.6 juta pada suku kedua 2021, susut 63.1% berbanding suku sebelumnya dan berkurang 59.1% berbanding tahun sebelumnya.

 

Prestasi tersebut menjadikan keuntungan separuh pertama 2021 sebanyak RM13.4 juta, berkurang 27.3% tahun ke tahun.

 

Dalam pada itu, Hup Seng turut mengumumkan dividen interim bernilai 1.5 sen sesaham berbanding 2 sen sesaham pada suku kedua tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) memberitahu, pihaknya turut menurunkan unjuran pendapatan Hup Seng sebanyak 12% bagi FY21. 

 

"Kami menurunkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 sebanyak -12%,-11% dan -10%.

 

"Penurunan tersebut dibuat dengan pengambil kira pendapatan yang lebih rendah dan kos input yang meningkat.

 

"Kami juga menurunkan jangkaan dividen sesaham (DPS) FY21 kepada 4.5 sen berbanding 6 sen memandangkan prospek pendapatan yang lebih rendah," jelas HLInvest. - DagangNews.com