Impak Omicron ke atas pasaran hartanah tidak ketara, jangka pemulihan pada 1H22 | DagangNews Skip to main content

Impak Omicron ke atas pasaran hartanah tidak ketara, jangka pemulihan pada 1H22

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Pasaran hartanah dijangka kembali pulih pada separuh pertama 2022 (1H22) apabila pembelian rumah menerusi pelancaran baharu dan sekunder meningkat dalam tempoh berkenaan. 

 

Ketua Segmen Bumiputera Juwai IQI, Muhazrol Muhamad berkata, jumlah transaksi yang semakin meningkat akhirnya akan membawa kepada peningkatan tekanan harga terutama dalam segmen pasaran yang paling popular.

 

Katanya, pemulihan ekonomi merupakan faktor utama yang akan membantu memacu pasaran hartanah. 

 

"Pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan meningkatkan pengambilan pekerja dan memberi kesan positif kepada pendapatan dan simpanan isi rumah. 

 

"Pertumbuhan ekonomi pada tahun ini akan terhasil daripada sokongan dasar secara berterusan, jangkaan kelonggaran terhadap langkah-langkah pembendungan COVID-19 dan peningkatan permintaan dalam kedua-dua sektor luar dan dalam negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Muhazrol Muhamad
Muhazrol Muhamad

 

 

Pengambilan pekerja semakin pulih dan mengukuh pada tahun ini dengan 15.4 juta orang bekerja pada September lalu berbanding 15.2 juta pada Januari. 

 

Malah, kadar pengangguran susut kepada 4.5% pada September 2021 setelah mencapai paras tertinggi 5.3% pada Mei 2020.

 

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada 2022 sekitar 5 hingga 6% berbanding anggaran 4.5% bagi tahun ini.

 

Menurut Muhazrol, Malaysia juga sudah mempelajari banyak kaedah pengurusan pandemik dalam tempoh 2 tahun ini meskipun belum menerima sepenuhnya data mengenai impak varian Omicron. 

 

"Sebagai bukti, lihat sahaja kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19, dengan Malaysia hanya merekodkan satu perempat daripada tahap kemuncaknya awal tahun ini.

 

"Menerusi pengujian, vaksinasi dan kempen komunikasi, kerajaan secara efektif telah mengurangkan impak pandemik COVID-19, sekali gus dapat membantu menangani risiko daripada varian baharu," jelasnya.

 

Sehubungan itu, katanya, impak ke atas pasaran hartanah tidak ketara memandangkan kerajaan secara berterusan mengambil langkah-langkah progresif bagi mengurangkan kesan COVID-19 dan varian Omicron. - DagangNews.com