Impak PKP penuh ke atas pasaran buruh hanya akan dilihat Q3 | DagangNews Skip to main content

Impak PKP penuh ke atas pasaran buruh hanya akan dilihat Q3

 

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Prestasi pasaran buruh negara dijangka bertambah baik pada suku kedua 2021
dengan kadar pengangguran dianggarkan berada pada paras 4.6% berbanding 4.8% pada pertama 2021 dan suku keempat 2020.

 

Unjuran ini terkandung dalam Laporan Quarterly Labour Market Perspectives – Stabilisation of Labour Market in the Post-Crisis Periods yang dikeluarkan hari ini oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Laporan yang disediakan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), sebuah pusat penyelidikan kolaboratif di antara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS) ini mendapati bahawa prestasi pasaran buruh pada suku pertama 2021 menunjukkan situasi pemulihan yang stabil.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini berdasarkan kadar pengangguran yang tidak berubah dan kekal stabil pada kadar purata 4.8% untuk suku pertama 2021 dan suku keempat 2020.

 

"Kestabilan ini disokong oleh penurunan kadar kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja sektor swasta yang menyusut sebanyak 12%.

 

"Selain itu, pelaksanaan PKP pada suku pertama 2021 juga tidak menjejaskan pasaran buruh negara, hasil pendekatan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih bersasar," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bagaimanapun, sebahagian segmen pasaran buruh masih terkesan dan berada pada fasa awal pemulihan, terutama sektor pekerjaan informal dan sektor pelancongan.

 

Laporan tersebut mendapati pemulihan pasaran kerja untuk suku pertama 2021 adalah berbentuk 'trapezoid', yang mana ia menggambarkan trend ketidakseimbangan yang kekal di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.

 

Ini menunjukkan situasi pasaran buruh negara tidak berubah berbanding suku keempat 2020, di mana terdapat lebihan bekalan pekerja berbanding dengan kekosongan jawatan yang sedia ada.

 

Penciptaan peluang pekerjaan bagi kategori profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) diunjurkan berkembang perlahan berbanding bilangan pencari kerja untuk kategori yang sama.

 

Malah, laporan itu juga menjangkakan bahawa impak pelaksanaan PKP penuh yang bermula sejak 1 Jun ke atas pasaran buruh hanya dapat dilihat pada suku ketiga 2021. 

 

Saravanan berkata, inisiatitf kerajaan dijangka dapat membantu mengurangkan impak pelaksanaan PKP penuh atau total lockdown.

 

Kerajaan memperkenalkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada Jun lalu dalam usaha menstabilkan pasaran buruh negara menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Upah Subsidi (PSU) 4.0, program PenjanaKerjaya 3.0 dan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).

 

"Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia yang berperanan sebagai peneraju pembangunan dan pengurusan
sumber manusia akan sentiasa memantau keadaan pasaran buruh negara dari semasa ke semasa. 

 

"Pada masa sama, kementerian juga akan melaksanakan pelbagai intervensi yang bersesuaian untuk terus mempergiat proses pemulihan negara khususnya dalam memangkin pasaran buruh negara," katanya. - DagangNews.com