Impiana Hotels cadang ambil alih 30% kepentingan dalam syarikat fintech, Accuventures | DagangNews Skip to main content

Impiana Hotels cadang ambil alih 30% kepentingan dalam syarikat fintech, Accuventures

 

 


KUALA LUMPUR 29 Dis - Impiana Hotels Bhd. memeterai perjanjian terma yang tidak mengikat secara sah untuk memperoleh 30% kepentingan dalam Accuventures Sdn. Bhd. bernilai RM4.2 juta.

 

Ia dilaksanakan dalam 2 peringkat tertakluk kepada terma yang akan dicapai dalam 1 atau lebih perjanjian muktamad bagi cadangan pengambilalihan tersebut, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Accuventures ialah penyedia penyelesaian fintech yang menyediakan pelbagai penyelesaian digital kepada pelanggannya dan membangunkan enjin kelulusan risiko sistematik yang memanfaatkan data besar dan memanfaatkan keupayaan pembelajaran mesin untuk menyampaikan penyelesaian yang tepat.

 

Oleh itu, kumpulan melihat cadangan pengambilalihan tersebut merupakan pelaburan strategik kepada Impiana Group kerana penting untuk menerima penyelesaian dan teknologi yang inovatif dalam mengurus operasi perniagaan hospitalitinya dengan lebih baik.

 

"Pelaburan dalam penyedia fintech, Accuventures juga meningkatkan portfolio pelaburan kumpulan untuk meletakkannya di landasan yang betul dengan trend pelaburan global terkini," katanya. 

 

Selain itu, menurutnya, terbitan saham pertimbangan sebagai penyelesaian harga belian akan membolehkan kumpulan menjimatkan sumber tunai.

 

Dalam transaksi peringkat pertama, kumpulan akan memperoleh 10% daripada sekuriti yang diterbitkan dan sedia ada Accuventures.

 

Harga belian hendaklah dibayar dalam saham biasa syarikat, yang mana nilai saham biasa akan ditentukan mengikut harga saham syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia, di mana penentuan muktamad nilai hendaklah tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua syarikat dan pemilik saham pengambilalihan.

 

Tarikh akhir bagi peringkat pertama ini dijangka pada atau sebelum 31 Disember 2021, atau tarikh lain yang mungkin ditentukan oleh kedua-dua pihak.

 

Sementara itu, bagi transaksi peringkat kedua, syarikat akan memperoleh 20% daripada sekuriti terbitan dan sedia ada of Accuventures, yang mana pengambilalihan peringkat ini hanya akan diteruskan oleh syarikat sekiranya laporan terperinci Accuventures yang telah diaudit untuk tahun fiskal berakhir 2021 telah diserahkan kepada dan disemak oleh syarikat untuk tujuan usaha wajar bagi mempertimbangkan langkah pengambilalihan berkenaan.

 

Tarikh akhir bagi peringkat kedua ini dijangka pada atau dalam tempoh sebulan dari tarikh permulaan proses usaha wajar berkenaan laporan teraudit Accuventures seperti yang dinyatakan di atas, atau tarikh lain yang mungkin ditentukan secara bersama.

 

Menurut Impiana, pihak Lembaga Pengarah telah mengambil pertimbangan semua aspek bagi cadangan pemerolehan ini demi kepentingan terbaik syarikat. 

 

"Pengumuman terperinci mengenai cadangan ini akan dinyatan dalam perjanjian jualan saham yang akan dimuktamadkan," katanya. - DagangNews.com