Inari bakal muncul syarikat teknologi pertama sertai indeks KLCI, Hap Seng pula 'terlepas' | DagangNews Skip to main content

Inari bakal muncul syarikat teknologi pertama sertai indeks KLCI, Hap Seng pula 'terlepas'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Firma semikonduktor, Inari Amerton Bhd. dijangka muncul sebagai syarikat teknologi pertama yang akan menyertai indeks utama FBM KLCI menggantikan Hap Seng Consolidated Bhd. yang gagal memenuhi kriteria dari segi kecairan. 

 

CGS-CIMB dalam nota kajiannya mendapati, Hap Seng tidak memenuhi median dagangan harian bulanan kerana melebihi 0.04% dalam tempoh 8 bulan daripada 12 bulan, berdasarkan data Bloomberg.

 

"Analisis kami mengesyorkan Hap Seng hanya memenuhi kriteria ini dalam tempoh 6 bulan daripada 12 bulan, dan tidak memenuhi penanda aras kecairan yang diperlukan.

 

"Oleh itu, ia akan disingkirkan daripada indeks utama dalam semakan akan datang digantikan dengan syarikat yang memiliki kedudukan pasaran modal tertinggi tetapi tidak berada dalam senarai tersebut," katanya hari ini.

 

FTSE Russell akan mengumumkan keputusan semakan separuh tahunan akan datang bagi Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia pada 2 Disember 2021 (Khamis).

 

Semakan itu akan menggunakan data pasaran modal berdasarkan penutupan pada 22 November, iaitu 4 minggu sebelum tarikh semakan berkuat kuasa. 

 

Semua perubahan konstituen daripada semakan tersebut akan berkuat kuasa pada 20 Disember 2021.

 

Menurut CGS-CIMB, semakan semula ini akan diikuti dengan rapat oleh pasaran kerana ia boleh memberi kesan ke atas produk berkaitan indeks KLCI seperti FTSE 30 ETF dan dana berkaitan indeks KLCI.

 

Konstituen semasa KLCI menyumbang kira-kira 57% daripada jumlah permodalan pasaran pada penutupan semalam.

 

Berdasarkan harga penutupan semalam, firma penyelidikan itu mendapati Inari yang berpangkalan di Pulau Pinang ini memiliki kedudukan yang tinggi dalam kalangan konstituen bukan KLCI.

 

Katanya, pasaran modalnya berjumlah RM15.7 bilion manakala kedudukan sahamnya berada di tangga ke-29 paling tinggi di Malaysia.

 

"Sebagai syarikat teknologi pertama dalam indeks ini, ia mungkin dapat membantu menjadi pemangkin kepada harga sahamnya," jelasnya. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, berdasarkan saham indeks yang diwakili Inari sebanyak RM2.28 bilion pada harga semasa RM4.24 berbanding Hap Seng dengan 649.52 juta pada RM7.70, dianggarkan Inari akan menyertai indeks ini dengan wajaran 1.97% berbanding Hap Seng dengan wajaran, 1.03%.  

 

"Pada harga RM4.24, Inari yang merupakan saham ke-30 terbesar dari segi pasaran modal perlu kekal sekurang-kurangnya di atas kedudukan ke-36 bagi mengelakkannya disinggirkan dalam semakan seterusnya.

 

"Jadi, sama ada Inari boleh kekal dalam KLCI melebihi satu tempoh separuh tahun, bergantung kepada antara lain, boleh kekal atau tidak dalam kedudukan 36 teratas," tambahnya.

 

Firma tersebut merujuk kepada kes yang menimpa Supermax Holdings Bhd. apabila ia disingkirkan ketika semakan dijalankan pada Jun 2021, hanya 6 bulan selepas menyertai indeks tersebut pada Disember 2020. 

 

"Namun, penganalisis teknologi kami, Samuel Tan optimis dengan kedudukan Inari, dan menetapkan harga sasaran pada RM4.80 (meningkat 13%), sekali gus mengukuhkan keyakinan kami bahawa Inari berkemungkinan kekal lebih lama dalam indeks utama KLCI," jelasnya. - DagangNews.com