Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Inari Amertron Bhd. mempunyai keupayaan untuk berkembang di China menerusi kerjasama terbaharunya dengan China Fortune-Tech Capital Co. Ltd (CFTC), menurut MIDF Research.
Pada Isnin, Inari memaklumkan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) tidak terikat dengan CFTC untuk menubuhkan syarikat usaha sama di China yang akan menjalankan pembuatan pemasangan dan pengujian semikonduktor (OSAT) serta perniagaan berkaitan untuk pasaran China.
Menerusi kerjasama itu, Inari akan menyediakan kepakaran dan kepimpinan operasi untuk mengembangkan Amertron Technology (Kunshan) Co. Ltd (ATK) di bawah syarikat usaha sama tersebut dan juga tapak kilang baharu di negara berkenaan.
CFTC pula yang memiliki pengalaman luas dalam pengurusan dana ekuiti persendirian akan menyediakan kepakaran, kerjasama dan panduan terhadap peluang perniagaan syarikat usaha sama tersebut termasuk dari segi jualan, strategi pemasaran, pembangunan perniagaan dan risiko berkaitan kerangka kerja kawal selia di China.
Melihat kepada kelebihan MoU ini, MIDF Research positif terhadap perkembangan ini kerana ia mampu menyediakan aliran hasil dan pendapatan yang lebih baik kepada Inari.
Ini membolehkan firma itu menyemak semula unjuran hasil dan pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 5% dan 5.4% dengan meletakkan harga sasaran baharu pada RM4.51 sesaham.
Harga sasaran baharu itu ditambat pada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 12.8 sen berbanding nisbah harga kepada pendapatan (PER) 35.2x yang berada di atas paras purata 2 tahun, 28.0x.
"Kami berpendapat penilaian premium adalah wajar dengan mengambil kira peningkatan jangka panjang bagi industri semikonduktor. Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Inari," jelasnya.
Setakat 9.18 pagi, saham Inari menokok 11 sen atau 2.89% kepada RM3.91 dengan 6.17 juta saham diniagakan. - DagangNews.com