INCEIF lantik 3 BoD baharu dalam usaha perkuatkan penglibatan dan impak industri pendidikan global | DagangNews Skip to main content

INCEIF lantik 3 BoD baharu dalam usaha perkuatkan penglibatan dan impak industri pendidikan global


KUALA LUMPUR 20 Okt – Universiti Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) mengumumkan perlantikan tiga ahli lembaga pengarah barunya yang bermula secara rasmi pada 12 Oktober 2021.

 

Ahli-ahli lembaga pengarah terbaru mereka adalah Dato' Mohd Izani Ghani, Pengarah Eksekutif UEM Group Bhd; Siti Kamariah Ahmad Subki, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor; dan Dr Aamir A. Rehman, Rakan Kongsi di Princeton Stone House Capital dan Penasihat Senior, UNDP.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, ketiga-tiga ahli lembaga pengarah baru ini mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas dan berharga di dalam pelbagai bidang.

 

‘’Saya yakin mereka akan menggunakan kepakaran mereka untuk memperkuatkan lagi penglibatan dan impak INCEIF di dalam industri pendidikan global.

 

‘’Justeru, ia juga bakal menjamin masa depan yang inklusif, saksama dan lestari untuk generasi yang akan datang. Semuanya bakal dilaksanakan melalui kurikulum, penyelidikan gunaan dan kolaborasi yang telah diusahakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Mohd Izani yang mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun di dalam bidang pelaburan dan pengurusan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di UEM Group.

 

Ketika di Khazanah Nasional Berhad, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi cawangan mereka di Wilayah Turki. Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Kewangan di Khazanah, di mana badan pelaburan strategik kerajaan Malaysia tersebut berjaya melaksanakan pelbagai transaksi sukuk yang bersejarah sepanjang pentadbiran beliau.


 

mohd izani
Dato' Mohd Izani Ghani

 

 

Transaksi-transaksi ini melibatkan sukuk boleh tukar dan sukuk impak sosial. Beliau turut pernah berkhidmat dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan Renong Group. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dengan pengkhususan di dalam Perakaunan dan Kewangan daripada The London School of Economics and Political Science. Beliau memiliki kelulusan profesional perakaunan dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan pernah dilantik sebagai Felo pada 1998. Beliau adalah ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)

 

Mempunyai kelayakan sebagai Akauntan Bertauliah, Siti Kamariah memulakan kerjaya beliau sebagai Akauntan Pengurusan pada 2004 di Hudson, Sydney, Australia (tersenarai di dalam NASDAQ) sebelum pulang ke Malaysia untuk menyertai PricewaterhouseCoopers. Beliau seterusnya berkhidmat bersama Khazanah dan juga pernah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi, Kewangan dan Sektor Swasta di UN World Humanitarian Summit dan sekretariat untuk UN High-Level Panel for Humanitarian Financing yang membincangkan penggunaan Kewangan Sosial Islam di dalam kerja-kerja kemanusiaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.

 

 

Siti Kamariah Ahmad Subki
Siti Kamariah Ahmad Subki

 

Beliau adalah graduan Sarjana Perdagangan, dengan pengkhususan di dalam Perakaunan dan Kewangan, University of New South Wales, Australia. Beliau memiliki keahlian Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun Australia New Zealand dan MIA.

 

Memiliki kewarganegaraan Amerika, Dr Rehman merupakan rakan kongsi di Prince Stone House Capital, syarikat pelaburan strategik yang berpusat di New Jersey, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah Penasihat di Fajr Capital, Syarikat Ekuiti Persendirian yang terletak di Dubai di mana beliau turut merupakan pengasas dan pengarah pengurusan syarikat tersebut.

 

Selain daripada kerjaya beliau di dalam bidang pengurusan pelaburan, Dr Rehman merupakan Penasihat Senior untuk Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Konsultan untuk bahagian Kewangan dan Pelaksanaan Pemasaran Global di Bank Dunia. Beliau juga Felo Senior di The Richard Paul Richman Center for Business, Law, and Public Policy di Columbia University.

 

Sumbangan beliau terhadap pusat ini memberi penekanan terhadap pertimbangan alam sekitar, sosial dan pentadbiran (ESG) bagi para pelabur dan kepentingan aspek awam bagi pelaburan peribadi. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dari Harvard College, Ijazah Sarjana dari Harvard Graduate School of Arts and Science, MBA dari Harvard Business School dan Ijazah Doktor Pendidikan (Ed.D.) dari Columbia University.

 

 

Dr Aamir A. Rehman
Dr Aamir A. Rehman

 

 

INCEIF mempunyai kelebihan kerana universiti ini berjaya mengumpulkan tenaga pakar kewangan Islam yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan pakar-pakar industri di bawah satu bumbung.

 

Berbekalkan fakulti yang kukuh dan penuh pengalaman, INCEIF mampu merapatkan jurang antara keperluan akademik dan permintaan industri bagi graduan-graduannya.

 

INCEIF turut menyediakan pembelajaran yang menawarkan pengetahuan menjangkau buku-buku teks dan kuliah-kuliah di kelas, graduan INCEIF sering diberi peluang untuk mendapatkan khidmat mentor dan bekerja bersama pakar-pakar industri dan pembuat-pembuat dasar untuk menangani isu-isu semasa, ini membolehkan mereka untuk melibatkan diri di dalam komuniti kewangan yang lebih luas.

 

Kini, ramai alumni INCEIF berkhidmat di seluruh dunia dan mereka telah memberi sumbangan yang amat besar kepada masyarakat global melalui penglibatan mereka sebagai pembuat dasar, penasihat, penyelidik, ahli akademik dan pemilik bisnes di sektor awam dan swasta. - DagangNews.com