Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Pasaran saham tempatan yang dibuka pagi ini kekal cemerlang melepasi paras 1,600 mata.
Pada awal pembukaan pasaran tepat pukul 9.17 pagi, Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.07 mata kepada 1,613.49 mata.
Paras cemerlang itu dikekalkan bermula Jumaat lalu berbanding hampir dua minggu didagangkan dalam julat terhad di bawah paras 1,600 mata.
Menurut Bloomberg, saham Asia dilihat meningkat hari ini di tengah-tengah pertumbuhan perlahan wabak COVID-19.
Minyak mentah West Taxes Intermediate (WTI) melonjak kepada AS$60 setong susulan pembekuan kawasan artik yang terjadi di beberapa kawasan di AS.
Pasaran Jepun, Australia dan niaga hadapan S&P 500 masing-masing meningkat tinggi.
Data menunjukkan ekonomi Jepun berkembang dua digit pada suku lalu mengatasi jangkaan.
Peningkatan itu terbukti apabila Nikkei 225 berjaya mencecah 30,000 buat kali pertama sejak 1990.
Pasaran AS hari ini bagaimanapun ditutup susulan Hari Presiden, sementara pertukaran di China, Hong Kong dan Taiwan turut ditutup hari ini. - DagangNews.com