Indeks Harga Pengeluar Jan 2024: Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 3.2% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Jan 2024: Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 3.2% - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, menurun 0.6% pada Januari 2024 berbanding negatif 1.3%  pada Disember 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Namun begitu, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 3.2%  (Disember 2023: 1.3%), disumbangkan oleh indeks Pengeluaran ternakan (5.4%) dan Penanaman tanaman kekal (3.6%).

 

Turut meningkat, sektor bekalan elektrik & gas juga terus menurun negatif 0.8%  (Disember 2023: -0.6%). 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perlombongan pula menurun negatif 1.3% (Disember 2023: -3.4%), disebabkan oleh penurunan indeks Pengekstrakan gas asli (-6.8%). 

 

Pada masa yang sama, katanya, sektor pembuatan turut turun negatif 0.9% (Disember 2023: -1.5%) disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-11.3%) dan Pembuatan produk makanan (-3.6%). 

 

"Sektor bekalan elektrik & gas juga terus menurun negatif 0.8% (Disember 2023: -0.6%),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ihor

 

Beliau menjelaskan, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan turun perlahan negatif 0.1% berbanding negatif 0.2% pada bulan sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 2.0% disebabkan oleh Penanaman tanaman kekal (3.2%) dan Penanaman tanaman tidak kekal (2.3%).

 

Sementara itu, katanya, sektor utiliti juga mencatatkan peningkatan bagi bekalan elektrik & gas (0.1%) dan Bekalan air (0.3%).

 

"Sektor perlombongan menurun 0.7%, disebabkan oleh kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-1.4%) dan Pengekstrakan petroleum mentah (-0.4%). 

 

"Selain itu, sektor pembuatan turun negatif 0.2%, dipengaruhi oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.3%) dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-0.1%)," ujarnya.

 

Jelas Dr Mohd Uzir, minyak sawit mentah Malaysia yang didagangkan pada Januari 2024 adalah RM3,800 walaupun Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mengunjurkan purata yang lebih tinggi iaitu RM4,000 per tan pada 2024. 

 

uzi
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

Katanya, prospek yang positif pada tahun 2024 ini dipacu oleh perubahan corak penawaran dan permintaan di Indonesia serta pengeluaran bermusim yang rendah serta kesan El Nino. 

 

Namun begitu, jelas beliau, harga dagangan pada Januari 2024 ini dipengaruhi oleh permintaan yang sederhana dari negara pengimport utama dan persaingan harga dengan minyak bunga matahari dan biji sesawi berbanding bulan sebelumnya. 

 

"Selain itu, harga ayam dan telur di pasaran dijangka meningkat berikutan kenaikan tarif air di seluruh negara bermula 1 Februari 2024. 

 

"Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan turut menjangkakan kos pengeluaran akan meningkat antara 11 hingga 20 peratus atau sekurang-kurangnya 25 sen setiap kilogram," katanya.

 

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Dr. Mohd Uzir berkata, Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.3 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 0.4%), dengan indeks Bahan makanan & makanan untuk binatang mencatatkan peningkatan 3.5 peratus.

 

Katanya, Indeks Barang siap juga meningkat perlahan 0.5 peratus (Disember 2023: 1.1%), disebabkan oleh peningkatan indeks Kelengkapan modal (1.4%). Walau bagaimanapun, indeks Bahan perantaraan, bekalan & komponen terus turun negatif 2.0 peratus (Disember 2023: -3.0%) disebabkan oleh Bahan api yang diproses & pelincir (-12.9%) dan Bahan & komponen untuk pembuatan (-1.1%).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi beras perlu diberi perhatian, naik lebih 4% dua bulan berturut-turut

 

"Pada asas bulanan, indeks Bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat 0.1 peratus, manakala Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya kekal tidak berubah. 

 

"Sementara itu, indeks Barang siap menurun negatif 0.5 peratus. Perbandingan dengan negara lain menunjukkan IHPR Amerika Syarikat meningkat 0.9 peratus pada bulan ini berbanding 1.0 peratus pada Disember 2023," ujarnya. 

 

Jelas beliau, IHPR Jepun meningkat perlahan 0.2 peratus, pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya. Inflasi tersebut kekal pada paras terendah sejak Februari 2021, berikutan penurunan sederhana bagi harga besi & keluli, bahan kimia dan plastik. 

 

Katanya, kadar inflasi harga tahunan United Kingdom pula turun negatif 0.6 peratus, menurun daripada kenaikan 0.1 peratus pada Disember 2023, terutamanya disebabkan oleh harga yang lebih rendah bagi bahan kimia & peralatan farmaseutikal dan produk kok & petroleum bertapis. 

 

"Sementara itu, harga pengeluar China terus turun negatif 2.5 peratus berbanding penyusutan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, menandakan penguncupan bulan keenam belas berturut-turut pada harga pintu kilang, disebabkan oleh penurunan dalam harga perlombongan & kuari, bahan mentah dan pemprosesan," jelasnya.- DagangNews.com