Inflasi beras perlu diberi perhatian, naik lebih 4% dua bulan berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Inflasi beras perlu diberi perhatian, naik lebih 4% dua bulan berturut-turut

Beras di pasaran antarabangsa dilaporkan meningkat selepas pasca pandemik yang turut memberi kesan kepada pengguna di Malaysia yang bergantung 40% beras dari sumber import. Gambar hiasan Leonie Clough
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Inflasi beras disenaraikan antara komponen yang perlu diberi perhatian dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) yang akan datang di sebalik pelaporan kadar inflasi Malaysia pada Januari 2024 yang kekal 1.5% sejak November 2023.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), ini susulan inflasi beras mencatatkan peningkatan sebanyak 4.7% pada Januari 2024 dan 4.6%, Disember 2023.

 

Kata firma penyelidikan itu, malah angka tersebut turut dalam aliran meningkat sejak 2022 iaitu kenaikan sebanyak 2.7% pada 2023 (YoY) dan 0.4% pada 2022 (YoY).

 

"Secara keseluruhan, inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (FNAB) menyumbang kepada 38.2% daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Januari 2024 berbanding 55.2% pada tahun 2023 dan merupakan komponen utama IHP untuk diperhatikan pada permulaan El Nino dan sedikit turun naik dalam inflasi makanan global.

 

"Kos baja tanaman dan makanan haiwan ternakan stabil walaupun kekal tinggi dengan berlaku peningkatan baru-baru ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan 2.0% pada Januari 2024 (Disember 2023: 2.3%) dengan komponen makanan di rumah meningkat 1.1% pada Januari 2024 (Disember 2023: 1.3%) manakala komponen makanan di luar rumah reda kepada 3.1% berbanding 3.4% yang direkodkan pada Disember 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: BERNAS bawa masuk, edar 1.03 juta tan metrik beras putih import walaupun berharga paras tertinggi di pasaran antarabangsa

 

Sementara itu, Maybank IB mengunjurkan ramalan inflasi 2024 berada pada +3.0% buat masa ini dengan menunggu lebih banyak butiran mengenai Belanjawan 2024 terutamanya pemansuhan kawalan harga dan subsidi untuk telur dan bahan api yang mana kuantum serta masa akan diumumkan kemudian.

 

Katanya, langkah lain termasuk kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% mulai 1 Mac 2024 serta pengembangan asas cukai perkhidmatan termasuk logistik, pembrokeran & pengunderaitan bukan kewangan dan karaoke.

 

"Sebagai permulaan, subsidi ayam telah pun dihentikan 1 November 2023 dan mulai 1 Januari 2024, dinaikkan duti eksais untuk pemanis gula minuman dari RM0.40/l hingga RM0.50/l, pengenaan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada 5% + MYR27/kg serta pengurangan dalam duti hiburan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) masing-masing daripada 25% kepada 10%, 5% dan 0%, mengikut kategori.

 

"Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini turut mengumumkan kenaikan kadar tarif air sebanyak RM0.22/m3 mulai 1 Februari 2024 untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

"Pelarasan ini dijangka menjejaskan 6.9 juta pengguna dalam kategori domestik, mewakili 86.6% daripada 7.9 juta pemegang akaun. Peningkatan RM0.22/m3 merupakan jumlah purata kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan," jelasnya.

 

Bagaimanapun, Maybank IB menjangkakan kenaikan tarif air mempunyai kesan minimum terhadap inflasi kerana "bekalan air" mempunyai berat 0.9% dalam bakul IHP. - DagangNews.com