Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Mac - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan terus meningkat dengan pertumbuhan 6.7% pada Mac 2021.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut adalah 4.0 mata lebih tinggi daripada 2.7% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Katanya lagi, berdasarkan rekod IHPR, ia merupakan kenaikan tertinggi sejak Ogos 2017.
"Pertumbuhan ini didorong oleh kenaikan indeks Perlombongan yang melonjak 32.0% berbanding -11.0% pada bulan sebelumnya.
"Indeks Pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan paras pertumbuhan baru yang tinggi sebanyak 41.1% kerana komoditi mencatatkan harga lebih tinggi pada bulan ini.
"Seterusnya, indeks Pembuatan juga mencatatkan kenaikan 2.2% disebabkan oleh kenaikan harga komoditi petroleum dan pertanian. Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas & bekalan air masing-masing mencatatkan penurunan 1.4% dan 0.1%," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengikut perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 0.7% pada Mac tahun ini.
Jumlah tersebut berkurangan daripada 1.5% yang dicatatkan pada Februari 2021.
Jelas beliau, kesemua empat indeks meneruskan momentum pertumbuhan iaitu Pertanian, perhutanan & perikanan (2.3%), Perlombongan (1.0%), Bekalan elektrik & gas (0.8%) dan Pembuatan (0.6%).
Bagaimanapun, indeks Bekalan air turun 0.2%.
"IHPR pengeluaran tempatan bagi suku pertama 2021 naik 3.0% kepada 108.5 berbanding 105.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan ini disebabkan oleh kenaikan indeks Pertanian, perhutanan dan perikanan (32.6%, Pembuatan (1.6%) dan Bekalan air (0.4%). Sementara itu, indeks perlombongan dan bekalan elektrik & gas masing-masing mencatatkan penurunan 7.3% dan 1.7%.
"Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 5.1% berbanding 2.0% pada suku keempat 2020," ujar beliau lagi.
Menyentuh berkaitan IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun mengikut pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan melonjak kepada 31.8% berbanding 10.0% pada Februari 2021.
Dalam pada itu, indeks bahan pertaraan, bekalan & koponen turut meningkat 2.8%, sementara indeks barang siap mencatatkan -0.2%. - DagangNews.com