Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.4% pada Mei 2024 dengan semua sektor catat kenaikan bulan ketiga berturut-turut, kata DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.4% pada Mei 2024 dengan semua sektor catat kenaikan bulan ketiga berturut-turut, kata DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.4% pada Mei 2024 berbanding 1.9% pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Mei 2024.

 

Beliau berkata, sektor perlombongan terus meningkat 6.6% daripada peningkatan dua angka 10% pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (7.2%) dan pengekstrakan gas asli (4.6%).

 

Katanya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat perlahan 1.3% (April 2024: 5.4%), dengan indeks pengeluaran ternakan dan penanaman tanaman kekal masing-masing meningkat sebanyak 3.7% dan 3.1%. 

 

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 1% (April 2024: 0.8%) disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (9.6%). 

 

dosm

 

"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air naik 8.7%, manakala indeks bekalan elektrik & gas meningkat 1.5%," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun negatif 0.9% daripada peningkatan 0.5% yang dicatatkan pada April 2024. 

 

Beliau berkata, sektor utama mengalami penurunan dan telah menyebabkan kemerosotan indeks keseluruhan pada bulan ini. 

 

dosm

 

Katanya, sektor perlombongan menurun negatif 5.5% (April 2024: 2.1%) disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (-6.8%) dan pengekstrakan gas asli (-1.7%). 

 

"Sektor pertanian, perhutanan & perikanan menurun negatif 4.6% daripada peningkatan 0.7% pada bulan sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (-7.8%). 

 

"Begitu juga, sektor pembuatan turun perlahan negatif 0.1% (April 2024: 0.3%) disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.5%). 

 

dosm

 

"Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air kekal positif dengan masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 1.1% dan 1.4%," katanya.

 

Mengenai harga komoditi tempatan, Mohd Uzir berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada Mei 2024 ialah RM3,902.50 setiap tan, meningkat 2.8% daripada Mei 2023, tetapi susut 8.3% berbanding April 2024.

 

Beliau berkata, menurut MIDF Research, momentum harga reda lebih awal daripada jangkaan, kembali kepada harga Februari 2024 apabila risiko cuaca panas dan kering telah berkurangan.

 

dosm

 

"Dalam masa yang sama, pengeluaran minyak bijirin global pada tahun 2024/2025 diunjurkan meningkat kepada 687 juta tan, meningkat 4%, manakala pengeluaran kacang soya ialah 422 juta tan, peningkatan sebanyak 6% pada asas tahunan.

 

"Ini akan mendorong harga minyak sayuran dan minyak kacang soya lain ke arah aliran menurun, termasuk risiko pengurangan bekalan. MIDF Research turut mengunjurkan bahawa harga MSM akan berada pada RM3,600 setiap tan sepanjang 2024, lebih rendah daripada ramalan yang berlegar sekitar RM3,900 hingga RM4,200," katanya. - DagangNews.com