Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 1.4% pada suku ketiga 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan meningkat 1.4% pada suku ketiga 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4% kepada 115.4 mata pada suku ketiga 2023 berbanding 113.8 mata pada suku sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor merekodkan peningkatan pada suku ini kecuali indeks maklumat dan komunikasi yang kekal tidak berubah. 

 

Katanya, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 4.6% berbanding 6.3% pada suku kedua 2023 disebabkan peningkatan dalam restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.2%) dan pengangkutan merekodkan peningkatan marginal 0.7% berbanding 4.8% pada suku kedua 2023 disebabkan oleh pengangkutan udara (1.5%). 

 

"Pada masa yang sama, subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah pendidikan (1%), kesenian, hiburan dan rekreasi (0.8%) dan profesional (0.4%).

 

"Sementara itu, indeks aktiviti hartanah dan kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat 0.4% berbanding 0.2%yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

"Ini disebabkan oleh kenaikan terutamanya dalam indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (3%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.9%), pendidikan (0.3%) dan aktiviti hartanah (0.2%). 

 

 

DOSM

 

 

"Manakala indeks pengangkutan, profesional, kesihatan dan maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya. - DagangNews.com