Indeks Harga Pengeluar susut 1.8% pada Ogos 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar susut 1.8% pada Ogos 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun negatif 1.8% pada Ogos 2023 berbanding 2.3% pada Julai 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan ini disumbangkan oleh sektor perlombongan, yang menurun sebanyak 3.8% berbanding 10.8% pada Julai 2023, dengan indeks pengesktrakan petroleum mentah mencatatkan 6.5% pada Ogos 2023. 

 

Pada masa yang sama, sektor pembuatan menurun sebanyak 2.3%, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-13.4%) dan pembuatan produk makanan (-7.6%). 

 

"Sektor bekalan elektrik & gas juga mencatatkan penurunan negatif 0.1% berbanding 0.1% pada Julai 2023.  

 

"Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat sebanyak 2.9% disokong oleh indeks pengeluaran ternakan (6%) dan penanaman tanaman kekal (2%). Sektor bekalan air juga meningkat 2.5% pada Ogos 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Beliau menjelaskan lagi, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3% pada Ogos 2023 berbanding 0.2% pada Julai 2023.

 

Katanya, sektor perlombongan meningkat 3.9% disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (5%) dan pengekstrakan gas asli (0.7%). 

 

 

DOSM

 

 

 

"Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.9% dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 5%. Sektor Bekalan air juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2% pada bulan ini. 

 

"Sementara itu, sektor pembuatan menurun negatif 0.2%, disebabkan oleh indeks pembuatan produk petroleum bertapis (-1.2%) dan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (-1.2%). Sektor bekalan elektrik & gas juga menurun sebanyak negatif 0.1%," katanya.

 

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak negatif 2.4% pada Ogos 2023 berbanding 6.3% pada Julai 2023 dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan negatif 3.5%. 

 

Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen juga mencatatkan negatif 3.7% disebabkan oleh bahan api yang diproses & pelincir (-10.2%) dan bahan & komponen untuk pembuatan (-5.6%). 

 

Sementara itu, indeks barang siap meningkat 3.2%, disebabkan oleh peningkatan dalam kelengkapan modal (4.8%) dan barangan pengguna siap (1.2%).

 

Pada asas bulanan, kedua-dua indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan barang siap masing-masing meningkat sebanyak 3.2% dan 0.1%. Sementara itu, bahan perantaraan, bekalan & komponen turun negatif 0.5% pada Ogos 2023. - DagangNews.com