Indeks nilai seunit eksport, import meningkat 1.6% dan 1.5% pada September 2023 - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport, import meningkat 1.6% dan 1.5% pada September 2023 - DOSM 

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Harga eksport Malaysia pada September 2023 meningkat 1.6% daripada 142.3 mata pada bulan sebelumnya kepada 144.6 mata, manakala harga import turut naik 1.5% daripada 128.8 mata kepada 130.7 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan indeks nilai seunit eksport itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (3.6%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran, (2.6%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1%).

 

"Pada masa sama, indeks volum eksport menokok 6.5% pada bulan sama, selaras dengan peningkatan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (21.3%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (7%) dan pelbagai barang keluaran kilang (2.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, indeks volum eksport pelarasan bermusim susut 4.1% daripada 161.1 mata kepada 154.5 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing turun 3.5% dan 10.6%.

 

Peningkatan indeks nilai seunit import disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (5.8%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.3%) dan bahan kimia (0.3%). 

 

Sementara itu, indeks volum import merosot 1.3% pada September 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kemorosotan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (46.8%) dan minyak galian (6%).

 

Beliau berkata, indeks volum import pelarasan bermusim pula bertambah 2.6% daripada 170.4 mata kepada 174.8 mata.

 

 

DOSM

 

 

"Perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan indeks nilai seunit import dan indeks volum masing-masing berkurangan 1.4% dan 11.5%," katanya.

 

Selain itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 110.6 mata pada September 2023, didorong oleh peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang (0.8%), bahan kimia (0.8%) dan makanan (0.2%).

 

Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun susut 2.1% daripada 113 mata pada September tahun lepas. - DagangNews.com